Pasukan gergasi pantai timur, Terengganu FC menzahirkan rasa gembira sekiranya khidmat jurulatih pasukan, Nafuzi Zain dipilih untuk menjadi pembantu kepada jurulatih baharu pasukan negara, Kim Pan-gon.
Menerusi satu kenyataan yang dilakukan oleh Pegawai Eksekutif Terengganu Football Club (TFC) Sdn Bhd, Ab Rasid Jusoh, pasukan sentiasa terbuka dan bersedia untuk melepaskan jurulatih tersebut untuk membantu Harimau Malaya.
Jelasnya lagi, ia merupakan satu penghargaan yang amat besar buat pasukan Terengganu sekiranya dapat memberi sumbangan kepada negara dalam usaha membina barisan kejurulatihan yang ampuh dalam kem negara.
‘Kita sangat gembira kerana bukan sahaja pemain sentiasa bersedia untuk mewakili pasukan negara, tetapi jurulatih kita pun berkeupayaan dan bersedia dipanggil untuk menyertai barisan kejurulatihan skuad negara.’
‘Lagipun Nafuzi sudah empat tahun bersama dengan kita, itu boleh kita rumuskan sebagai sumbangan TFC kepada skuad Harimau Malaya jika beliau menjadi pilihan Pan- gon,’ – katanya kepada Arena Metro.
Pihak pengurusan juga yakin dapat menggantkan tempat Nafuzi sekiranya benar ada tawaran yang bakal dikemukakan kepada jurulatih berusia 43 tahun itu.
‘Sekiranya Nafuzi bersama pasukan negara, kita sudah ada persediaan kerana dua jurulatih yang kini membimbing pasukan Terengganu FC II, (TFC II), Badrul Afzan Razali dan Subri Sulong sedang menjalani kursus mengambil lesen kejurulatihan Pro, Konfederasi Bolasepak Asia (AFC).’
‘Jadi situasi ini saya lihat tiada masalah, lagipun penolong jurulatih TFC, Hairuddin Omar ada dalam pasukan, jadi untuk menjadi pemangku jurulatih sebelum kita mengambil jurulatih lain menggantikan tempat Nafuzi tiada halangan,’
Sebelum ini, Nafuzi antara nama-nama yang disebut bakal mengisi kerusi panas itu bersama-sama rakan sekerja dari pasukan Selangor, Nidzam Jamil selain nama-nama besar seperti Azrai Khor dan juga bekas jurulatih Melaka United, Zainal Abidin turut menjadi bualan.
Namun begitu, Setiausaha Agung FAM, Dato Saifuddin Abu Bakar sudah pun menjelaskan bahawa terdapat dua nama yang sudah disenarai pendek dan bakal dimuktamadkan menjelang minggu hadapan.