Advertisement
Liga Super: Terengganu Sia-Siakan Peluang, Tewas Mengejut Kepada Kedah
Liga Super
MakanBola
Instagram: @kedahdarulamanfc

Perlawanan ke-19 Liga Super melibatkan pertemuan antara pasukan Terengganu FC dan juga Kedah Darul Aman FC berkesudahan dengan kemenangan berpihak kepada pasukan pelawat dengan jaringan 2-1.

Perlawanan bermula dengan sangat baik apabila kedua-dua pasukan saling melancarkan serangan bagi mencari gol pada awal permainan. Namun begitu, kecemerlangan barisan pertahanan mematahkan serangan bertali-arus menggagalkan jaringan yang ditunggu-tunggu.

Namun begitu, Terengganu dilihat cuba untuk memanfaatkan kelincahan duo utama mereka iaitu Faiz Nasir dan juga Faisal Halim untuk memecah-belahkan tempok kebal Kedah namun masih menemui jalan buntu.

Peluang terbaik Terengganu hadir pada minit ke-26 apabila peluang yang terhidang disia-siakan oleh Faiz Nasir apabila rembatan beliau lemah dan mudah diselamatkan oleh Ifwat Ikmal.

Gol yang ditunggu-tunggu oleh peminat akhirnya tiba apabila gerakan pada minit akhir babak pertama oleh barisan serangan Kedah membuahkan hasil setelah keadaan kucar-kacir dalam kotak penalti Terengganu dimanfaatkan oleh Rabih Ataya. Beliau berjaya melepaskan satu rembatan melepasi kawalan Suhaimi Hussin pada minit ke-48.

Bersambung babak kedua, Kedah dilhat terus mengasak kubu Terengganu untuk terus menggandakan kedudukan. Pasukan kendalian Nafuzi Zain kelihatan sedikit hilang sentuhan untuk meneruskan permainan setelah Kedah memperoleh jaringan kedua menerusi pemain sayap berpengalaman Syazwan Zainon.

Terengganu pula bangkit untuk merapatkan jurang apabila sepakan percuma yang diperolah dari jarak 35 meter tidak disia-siakan oleh David Da Silva. Sungguhpun bola itu terbias sedikit, namun ia tetap menembusi gawang pasukan Kedah.

Kemenangan ini membolehkan pasukan Kedah terus melonjak anak tangga apabila terikat 32 mata bersama pasukan Selangor FC. Dengan 2 perlawanan dalam tangan, rentak cemerlang terus ditagih oleh Aidil Sharin agar anak buahnya terus mempamerkan rentak cemerlang bagi merapatkan jurang dengan pendahulu liga, Johor Darul Ta’zim (JDT).