Terengganu Ucap Selamat Tinggal Kepada Dua Import Pasukan?

Sardor Kulmatov Domagoj Pusic Terengganu FC Terengganu Ucap Selamat Tinggal Kepada Dua Import Pasukan?
Terengganu FC
Azim Noor @mohdazim45
3:35pm 28/06/2023

Menjelang tetingkap perpindahan kedua pada bulan hadapan, kelab-kelab Liga Super mula merombak barisan pemain mereka. Dan Terengganu FC dikhabarkan bakal melepaskan dua awang import mereka.

Dua awang import tersebut ialah bek tengah Uzbekistan, Sardor Kulmatov dan pemain tengah bertahan dari Croatia, Domagoj Pusic.

Perkhabaran ini dibawa oleh pengguna Twitter, Piang Shankly hari ini. Ini selepas dia ditanya seorang pengguna Twitter lain tentang sebarang khabar angin perpindahan membabitkan skuad Peteh.

Dari satu segi, khabar angin ini sudah dijangka lebih-lebih lagi selepas kedua-duanya tidak terlibat dalam perlawanan separuh akhir Piala FA menentang KL City FC beberapa hari lepas.

Kulmatov dan Pusic masing-masing merekodkan 10 dan 12 penampilan dalam semua kejohanan Liga Malaysia (Liga M) musim ini.

Dengan saingan Piala AFC dan Piala Malaysia sebagai medan memburu trofi musim 2023, pengurusan Penyu mahu memastikan pemain-pemain berkualiti termasuk pemain import berada dalam skuad mereka. Ini bagi membolehkan mereka dapat meraih satu trofi musim ini.