Kehangatan aksi Terengganu FC dalam Piala AFC 2023/2024 semakin dirasai apabila stadium keramat mereka, Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin (SSMZA) diumumkan sebagai gelanggang rasmi untuk kejohanan itu.
Pengumuman ini dibuat oleh pengurusan skuad Peteh menerusi satu kenyataan di laman media sosial rasmi mereka semalam.
Terengganu mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pihak termasuk FAM dan MFL kerana membantu merealisasikan usaha menjadikan SSMZA sebagai gelanggang rasmi mereka.
“Dengan usaha serta kerjasama yang telah diberikan oleh pihak kerajaan Negeri Terengganu melalui pihak Majlis Sukan Negeri Terengganu (MSNT), Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Jabatan Kerja Raya (JKR) Terengganu, Persatuan Bolasepak Negeri Terengganu (PBSNT), Kompleks Sukan Negeri Terengganu (KSNT), Malaysian Football League (MFL) dan pihak-pihak yang membantu secara langsung mahupun tidak langsung merealisasikan SSMZA menjadi venue rasmi Terengganu FC.
“Semestinya berita ini bakal menambahkan semangat bukan sahaja buat para pemain, namun buat seluruh penyokong Terengganu FC yang semestinya ingin hadir memberikan sokongan buat pasukan ini selepas 12 tahun kita tidak berada di pentas Asia!” kata pihak pengurusan.
Ini merupakan penampilan ketiga Terengganu dalam Piala AFC. Skuad Penyu dijangka mengalu-alukan kelab A-League, Central Coast Mariners sebagai lawan pertama mereka dalam Kumpulan G.
Dua pasukan ini bakal bertemu di SSMZA pada 19 September ini. Satu lagi aksi Kumpulan G bakal menemukan kelab Indonesia, Bali United dan kelab Filipina, Stallion Laguna pada hari yang sama.