Pengendali Sabah, Dato’ Ong Kim Swee berterima kasih dengan pengumuman awal yang dibuat Malaysian Football League (MFL) berhubung pemansuhan peraturan kelebihan jaringan di tempat lawan (away goal) yang berkuatkuasa bermula kempen Piala Malaysia minggu depan.
Beliau menyambut baik perubahan terhadap format yang sekian lama menjadi amalan itu, dan menyifatkan kini setiap pasukan akan mempunyai masa untuk mengubah atau merencanakan sebarang taktikal bagi mengejar kemenangan sehingga ke akhir perlawanan.
“Saya gembira perkara ini dimaklumkan lebih awal, jadi pasukan boleh bersiap sedia tentang apa yang perlu dilakukan kerana kita sudah terbiasa dengan peraturan gol di tempat lawan.
“Jadi, sudah tentu taktikal setiap pasukan akan berbeza kerana semua pasukan akan mengejar untuk kemenangan dan tidak terlalu memikirkan gawang mereka akan dibolosi jika beraksi di tempat sendiri.
“Sebelum ini jika bermain di tempat sendiri dahulu dan dibolosi terlebih awal, sudah tentu pasukan terpaksa mendapatkan dua gol bagi padamkan kelebihan jaringan lawan.
“Jadi, tanpa lagi gol di tempat lawan, saya jangkakan perlawanan jadi lebih menarik kerana pasukan akan beraksi lebih terbuka dan ini sesuatu yang baik kepada penonton bagi melihat perlawanan yang lebih menghiburkan,” Kim Swee.
Dengan pemansuhan peraturan away goal dalam kejohanan kalah mati, perlawanan yang terikat secara agregat selepas 180 minit timbal balik, akan dilanjutkan ke masa tambahan selama 30 minit.
Dan jika kedua-dua pasukan masih terikat, maka pemenang perlawanan akan ditentukan menerusi sepakan penalti.
Sabah yang pernah muncul finalis sebanyak tiga kali, dianggap sebagai antara pasukan yang perlu diberi perhatian musim ini, lebih-lebih lagi mereka kini dalam misi mengejar tiket beraksi di Piala AFC.
Mereka akan membuka kempen Piala Malaysia dengan menentang Uitm FC di pusingan kedua, dengan perlawanan pertama dijadual berlangsung 26 Oktber di Shah Alam, manakala aksi timbal balik di Likas pada 31 Oktober.
Sabah perlu menjuarai Piala Malaysia untuk menyambar slot terakhir ke Piala AFC, atau pilihan lain yang mereka ada adalah mengharapkan JDT atau Terengganu muncul juara.