Advertisements
Terjahan Kontroversi Jeremy Doku Cetus Kemarahan Liverpool
EPL
MakanBola
Sky Sports

Perlawanan Liga Perdana Inggeris (EPL) membabitkan Liverpool dan Manchester City diselubungi kontroversi awal pagi tadi.

Menjelang minit-minit akhir perlawanan, cubaan pemain sayap Belgium, Jeremy Doku mendapatkan bola mengakibatkan kakinya terkena dada pemain tengah The Reds, Alexis MacAllister.

Memandangkan insiden tersebut berlaku dalam kotak penalti, ramai peminat menjangkakan penalti akan diberi kepada Liverpool.

Bagaimanapun, penolong pengadil video (VAR) mendapati sentuhan Doku terkena pada bola sebelum kakinya mengenai MacAllister.

Perlawanan tersebut kemudiannya berkesudahan dengan kedua-dua pasukan meninggalkan Anfield dengan satu mata.

Pengurus The Reds, Jurgen Klopp yang berang dengan keputusan tersebut kemudiannya bersemuka dengan pengadil, Michael Oliver tentang apa yang berlaku.

Dan dalam temubualnya selepas perlawanan bersama Sky Sports, pengurus Jerman itu menyifatkan kekasaran yang dilakukan Doku sepatutnya dihukum oleh pengadil.

“Situasi ini dalam semua posisi di atas padang adalah 100% kesalahan. Ia 100% kesalahan dan (dilayangkan) kad kuning. Kerana dia (Doku) memukul bola, ya.

“Tetapi dia hanya boleh memukul bola kerana kakinya berada di sana (pada kedudukan tinggi). Dan ya, dia memukul bola. Tetapi jika bola tidak ada, dia membunuhnya (MacAllister). Begitulah keadaannya, ia semudah itu,” kata Klopp.

Ramai legenda bola sepak menyifatkan Doku bertuah kerana terjahannya itu tidak dihukum oleh pengadil.

Antara yang berkongsi sentimen berkenaan ialah legenda Manchester United, Gary Neville yang menjadi pengulas perlawanan untuk Sky Sports.

“Dia (Doku) ialah seorang pemain yang amat, amat bernasib baik. Saya sangka dia akan berdepan masalah (dengan pengadil),” katanya.

Keputusan ini menyaksikan Liverpool dan Manchester City masing-masing kekal di tangga kedua dan ketiga liga dengan 64 dan 63 mata.

Related Articles