Advertisement
Thailand Akur Dengan Kehebatan Jordan
Asia
MakanBola
Changsuek

Skuad Thailand Bawah 23 Tahun (B-23) gagal mempertahankan kelebihan awal mereka apabila tewas 3-1 kepada Jordan awal pagi ini.

Perlawanan Thailand-Jordan merupakan aksi penentuan tempat kelima hingga kelapan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) B-23 2024.

Selepas tewas kepada Korea Selatan beberapa hari lalu, anak-anak buah Issara Sritaro berharap dapat bangkit bila menentang Jordan.

Meskipun pasukan Asia Barat itu dilihat pasukan pilihan, skuad muda Gajah Perang terlebih dahulu di hadapan menerusi Thanadol Kaosaart pada minit ke-23.

Gol tersebut seakan mengejutkan Jordan daripada lena. Pasukan yang dibimbing Abdullah Abu Zema itu bangkit menyamakan kedudukan menerusi Mohamad Abu Taha pada minit ke-32.

Lima minit selepas itu, giliran Jordan pula di hadapan menerusi Aref Al-Haj Mohammad. Keputusan 2-1 kekal sehingga rehat.

Bersambung pada babak kedua, Thailand berusaha mendapatkan gol penyamaan tetapi usaha mereka tidak berhasil.

Sebaliknya, Jordan memastikan kemenangan milik mereka menerusi penyerang muda Al-Faisaly, Reziq Bani Hani pada minit ke-52. Keputusan 3-1 kekal sehingga tamat perlawanan.

Keputusan ini menyaksikan Thailand bakal bersaing dalam penentuan tempat ketujuh/kelapan Kejohanan Persekutuan Bola Sepak Asia Barat (WAFF) B-23 2024.

Mereka bakal menentang satu lagi pasukan Asia Barat, Emiriah Arab Bersatu (UAE) pada awal pagi 27 Mac ini.