Advertisement
“Thailand Berdepan Cabaran Sukar” – Madam Pang
Asia Tenggara
MakanBola
Changsuek

Pengurus skuad kebangsaan Thailand, Nualphan Lamsam atau Madam Pang mengakui skuad Gajah Perang bakal berdepan tugas sukar untuk layak ke Piala Asia 2027.

Cabutan undi kelayakan Piala Asia 2027/Piala Dunia 2026 menyaksikan Thailand diundi dalam Kumpulan C bersama dua jaguh Asia Timur, China dan Korea Selatan.

Satu lagi slot bakal diisi sama ada Singapura atau Guam berdasarkan keputusan perlawanan pusingan pertama kelayakan.

“Saya akui ini tugas sukar kerana Korea Selatan dan China merupakan pasukan hebat di Asia terutama Korea Selatan. Korea Selatan sudah diketahui mempunyai standard kelas dunia dan hampir separuh pemain pasukan mereka beraksi di Eropah.

“Seperti pasukan dari Pot 4 (baik) Singapura atau Guam, kita tidak akan pandang rendah. Justeru, bila kita tahu siapa lawan kita, saya akan ingatkan barisan kejurulatihan untuk melakukan kerja rumah dan mengkaji lawan kita dengan teliti,” katanya kepada SNE Sports.

Madam Pang melihat baki dua kalendar antarabangsa FIFA pada September dan Oktober sebagai peluang menambahbaik skuad Gajah Perang sebelum aksi kelayakan bermula pada November ini.

“Kita ada baki dua tempoh antarabangsa FIFA pada Septemebr dan Oktober sebelum memasuki kempen kelayakan Piala Dunia 2026. Sekurang-kurangnya kena nombor dua dalam kumpulan.

“Semua peminat bola sepak Thailand tidak sabar memberi sokongan kepada kita. Kita akan lakukan yang terbaik bagi memenuhi impian semua warga Thailand,” tambahnya.

Dua pasukan teratas setiap kumpulan kelayakan bakal layak ke pusingan ketiga Kelayakan Piala Dunia 2026 dan ke Piala Asia 2027 secara merit.