Aksi kedua kumpulan C Asean U-19 Boys Championship menyaksikan giliran Thailand pula berpesta jaringan ke atas skuad muda Brunei pada Isnin.
Setelah tewas besar 0-11 di tangan Malaysia pada Jumaat, satu lagi ujian berat menanti pasukan muda Brunei apabila dijadualkan berdepan Thailand yang berjaya menundukkan Singapura 2-1 dalam aksi pertama lalu.
Dua penjaring gol Thailand, Laohawiwat dan Sangkasopha dalam aksi lalu dikekalkan oleh ketua jurulatih, Emerson Pereira sementara barisan pemain Brunei pula diketuai oleh Abdul Muntaqim.
Thailand yang turun mengenakan jersi serba merah mula memberikan tekanan hebat buat Brunei sehingga berjaya mencetak gol pendahuluan menerusi tandukan Pakawat Taengoakson seawal minit ketujuh.
Pada minit ke-26, giliran pemain tengah, Paripan Wongsa pula menggandakan kelebihan buat skuad muda Thailand hasil rembatan padu dari luar kotak penalti untuk Gajah Perang mendahului 2-0.
Sebelum memasuki bilik persalinan, penyerang kacukan, Canalan Tanadon Ryan meledak jaringan ketiga sebelum Pikanet Laohawiwat memberi kelebihan empat gol buat Thailand.
Separuh masa pertama tamat, Brunei 0-4 Thailand.
Bersambung aksi di babak kedua, Brunei mula melakukan beberapa pertukaran pemain bagi memberi tenaga baharu di benteng pertahanan untuk mengekang asakan hebat Thailand.
Kesilapan benteng pertahanan Thailand hampir dihukum penyerang Brunei pada minit ke-67 namun percubaan satu lawan satu tersebut berjaya ditepis penjaga gol yang juga kapten, Bunmak.
Pitipong Wongbut dan Ratthabhum mencetak nama sebagai penjaring buat Thailand pada minit ke-79 dan 89 bagi melengkapkan kemenangan besar buat skuad muda Gajah Perang.
Aksi di Stadium Gelora 10 November berakhir dengan keputusan 6-0 memihak Thailand Bawah 19.
Aksi terakhir kumpulan Khamis nanti bakal menyaksikan pertemuan di antara Thailand dan juga Malaysia manakala Brunei yang sudah pun tersingkir bakal menutup kempen menentang Singapura.