Thailand mencipta kejutan dalam perlawanan pertama Piala Raja Thailand 2023 dengan mengalahkan pasukan dari Timur Tengah, Lubnan 2-1 di Stadium Ulangtahun Ke-700 Chiang Mai, Chiang Mai.
Dari segi ranking, Lubnan memiliki kelebihan kerana menduduki ranking ke-100 FIFA berbanding Thailand (ranking ke-113 FIFA). Namun begitu, skuad Gajah Perang yang dibimbing Mano Polking memiliki kelebihan sokongan padu penyokong tempatan.
Babak pertama menyaksikan Lubnan banyak mendominasi bola dengan Thailand fokus kepada serangan balas. Dan taktik tersebut berhasil apabila Jihad Ayoub menjaringkan gol sendiri pada minit akhir babak pertama.
Bersambung pada babak kedua, Lubnan yang turut diperkuat penyerang Penang FC, Sonny Saad terus memburu gol penyamaan. Hasilnya, Bassel Jrardi mudah menanduk hantaran kapten Hassan Mattouk pada minit ke-57 untuk menyamakan kedudukan.
Dengan kedudukan 1-1, kedua-dua pasukan berusaha memburu gol kemenangan bagi mengelak diheret ke penentuan penalti sekiranya mereka seri.
Kesungguhan tuan rumah memburu gol membuahkan hasil apabila peledak berbisa, Teerasil Dangda menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-85. Keputusan 2-1 kekal sehingg tamat perlawanan.
Keputusan ini menyaksikan Thailand berdepan pasukan yang menduduki ranking ke-70 FIFA, Iraq di pentas final pada 10 September. Manakala Lubnan pula perlu berdepan India untuk penentuan tempat ketiga Piala Raja Thailand 2023 pada hari sama.