Thailand Iringi Kepulangan Malaysia
Asia
Changsuek
Advertisements

Thailand menjadi wakil Asia Tenggara kedua selepas Malaysia yang ditunjukkan jalan keluar dari Piala Asia B-23 2024.

Thailand berharap dapat mengikut jejak langkah Indonesia yang mara ke suku akhir selaku naib juara Kumpulan A.

Pasukan itu berpotensi layak dengan syarat mereka menewaskan Tajikistan dan mengharapkan ihsan pendahulu kumpulan, Arab Saudi mengalahkan Iraq.

Advertisements

Malangnya, apa yang dihajatkan skuad Gajah Perang tidak berlaku. Sebaliknya, Thailand hampa apabila tewas tipis 1-0 kepada wakil Asia Tengah, Tajikistan dalam aksi terakhir Kumpulan C.

Sementara Iraq mencipta kejutan dengan mengalahkan The Green Falcons 2-1 dalam satu lagi aksi kumpulan.

Keputusan ini membuka ruang buat Singa Mesopotamia layak ke suku akhir selaku juara Kumpulan C. Manakala Arab Saudi pula mara selaku naib juara kumpulan.

Advertisements

Keputusan ini menyaksikan hanya Indonesia dan Vietnam membawa cabaran Asia Tenggara di suku akhir Piala Asia B-23. Sementara Thailand dan Malaysia pula terpaksa pulang awal selepas terkandas di peringkat kumpulan.

Jurulatih Thailand, Issara Sritaro mengakui kecewa kerana gagal mengulangi pencapaian mara ke suku akhir edisi 2020.

Pada masa sama, beliau melihat ramai pemain skuad berkenaan mampu membarisi skuad senior Gajah Perang pada masa hadapan.

Advertisements

“Dalam tiga perlawanan, semua orang mendapat peluang bermain dan mempraktikkan apa yang kita inginkan. Ramai pemain menunjukkan prestasi lebih baik daripada apa yang disangka.

“Bagi sesetengah pemain, kejohanan ini (Piala Asia B-23) merupakan kejohanan rasmi pertama mereka bersama skuad kebangsaan. Tetapi mereka menunjukkan prestasi bagus, contohnya Erawan (Garnier) dan Waris (Chuthong) bermain dengan bagus.

“Kedua-dua pemain pertahanan Chanaphat (Buaphan) dan Songwut (Kraion) bermain tiga perlawanan penuh. Semua pemain muda beraksi dengan bagus termasuk nama-nama yang tidak disebutkan.

Advertisements

“Semua orang dilihat sebagai masa depan pasukan kebangsaan. Dan terdapat beberapa pemain yang masih boleh beraksi untuk kejohanan ini lagi,” katanya seperti yang dilaporkan SiamSport.

Skuad Thailand B-23 bakal tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi pada tengah hari esok.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram