Bekas juara dunia 2022, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan kemaraan ke pentas final Thailand Open 2025.
Beregu nombor lima dunia itu menewaskan pilihan kelima kejohanan dari Thailand, Kittinupong Kedren dan Dechapol Puavaranukroh di peringkat separuh akhir.
Selepas berjaya menewaskan rakan senegara, Arif Junaidi dan Yap Roy King di peringkat suku akhir, Aaron-Wooi Yik mahu meneruskan rentak cemerlang ke pentas final.
Kittinupong-Dechapol menjadi penghalang antara mereka dan pentas akhir. Aksi ini juga dilihat buat beregu ke-16 dunia itu membalas dendam ke atas Aaron-Wooi Yik.
Ini kerana Kittinupong-Dechapol tewas di tangan beregu negara dalam saingan suku akhir India Open 2025. Aaron-Wooi Yik menang dengan keputusan 21-18, 21-18.
Set pertama menyaksikan pada awalnya, Kittinupong-Dechapol mendahului pada kedudukan 8-4. Aaron-Wooi Yik mengejar sebelum menyamakan kedudukan 10-10.
Juara Asia itu kemudiannya mendahului dengan jurang mata selesa pada kedudukan 18-12. Kelebihan itu terus dipertahankan sebelum Aaron-Wooi Yik menang dengan keputusan 21-17.
Set kedua menyaksikan beregu tuan rumah berusaha memberi tentangan sengit kepada bekas juara dunia itu. Meskipun begitu, Aaron-Wooi Yik mendahului pada kedudukan 11-9.
Kelebihan itu terus dilebarkan pada kedudukan 16-12. Kesilapan demi kesilapan yang dilakukan Kittinupong-Dechapol membolehkan beregu negara menang dengan keputusan 21-13.
Aaron-Wooi Yik dijangka bertemu sama ada pilihan utama kejohanan dari Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto atau beregu Denmark, William Kryger Boe-Christian Faust Kjaer.
Kem negara berpeluang menambah satu lagi wakil di final menerusi beregu wanita, Pearly Tan-M. Thinaah.
Pearly-Thinaah bakal menentang wakil China, Chen Qing Chen-Wang Tin Ge dalam aksi separuh akhir acara berkenaan.