Advertisements
Thailand Pilih Pasukan Ke-187 Dunia Asah Taring
Asia Tenggara
MakanBola
Changsuek

Thailand bakal dicabar negara serantau yang juga pasukan ke-187 dunia, Laos untuk aksi persahabatan antarabangsa pada November ini.

ASEAN Football melaporkan skuad Gajah Perang yang dibimbing Masatada Ishii sudah memuktamadkan siapa lawan yang bakal dihadapi pada November.

Thailand bakal menentang Laos pada 17 November ini di Stadium Thammasat, Pathum Thani. Sementara satu lagi aksi persahabatan bakal menemukan skuad Gajah Perang dengan Lubnan pada 14 November.

Aksi Thailand-Laos dijangka menarik kerana ini merupakan aksi kompetitif pertama Lan Xang di bawah bimbingan jurulatih Korea Selatan, Ha Hyeok-jun.

Hyeok-jun dipilih sebagai jurulatih baru Laos pada Ogos lalu menggantikan jurulatih sebelumnya dari Jerman, Michael Weiss.

Aksi menentang Thailand dilihat kesinambungan daripada usaha beliau membentuk skuad mantap menjelang saingan ASEAN Championship 2024 yang bermula pada 8 Disember ini.

Thailand turut menghela nafas lega kerana Lubnan bersedia memenuhi komitmen perlawanan persahabatan dengan negara itu.

Meskipun negara itu kini diancam konflik akibat tindakan rejim Israel yang menceroboh Lubnan pada akhir September lalu, Persatuan Bola Sepak Lubnan (LFA) tetap komited untuk meneruskan perlawanan berkenaan.

Thailand telah membuat permohonan kepada FIFA agar kedua-dua perlawanan ini didaftarkan di bawah Perlawanan Antarabangsa Tier A. Ini kerana jika itu diluluskan, ini akan menambah kutipan mata ranking FIFA mereka.

Dengan cabutan undi pusingan ketiga kelayakan Piala Asia 2027 bakal berlangsung pada Disember ini, Thailand mahu memastikan kedudukan mereka dalam Balang 1 tidak tergugat.