Advertisement
Thailand ‘Sambar’ Pemain Lyon Ke Piala Asia B-23
Asia Tenggara
MakanBola
Changsuek

Persiapan skuad kebangsaan Thailand Bawah 23 (B-23) ke Piala Asia B-23 2024 di Qatar semakin sempurna selepas berjaya ‘sambar’ bintang muda Olympique Lyon, Erawan Granier.

Perkara itu telah diumumkan Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT) pada Selasa lalu bagi kemasukan pemain itu. Erawan Granier merupakan pemain keturunan Francis dan Thailand yang memperkuat salah satu kelab gergasi Francis iaitu Lyon.

Beraksi sebagai pemain sayap kanan, Granier dikenali dengan kemampuannya dalam mencipta serangan yang baik dalam setiap perlawanan.

Sebagai rekod, beliau telah meledak enam gol dalam 21 penampilan bersama Lyon B-19 dalam semua perlawanan musim ini.

Pemain berketinggian 180 cm itu juga cukup versatile kerana boleh bermain sebagai pertahanan kanan dan sayap kiri.

Dengan kemampuan menggunakan kedua belah kaki dengan sempurna, pastinya memberi kelebihan kepada pasukan Thailand B-23 menjelang Piala Asia B-23 di Qatar.

Piala Asia B-23 2024 dijadualkan berlangsung di Qatar pada 15 April sehingga 3 Mei 2024. Thailand kini berada di Kumpulan C bersama Arab Saudi, Iraq dan Tajikistan dan perlawanan pembukaan skuad Gajah Perang akan bertemu Iraq pada 16 April ini.