Thailand Sekat Impian Juara Piala Asia Sepak Takraw Malaysia
UltraSukan
Persatuan Sepaktakraw Malaysia

Malaysia terpaksa menelan kepahitan apabila tewas kepada musuh tradisi, Thailand di pentas akhir Piala Asia Sepak Takraw acara regu berpasukan.

Malaysia berharap dapat mengakhiri kemarau 34 tahun kemenangan dalam acara regu berpasukan. Thailand pula datang dengan misi menebus kehampaan dalam acara regu.

Aksi pertama menyaksikan Malaysia menurunkan Azlan Alias, Syahir Rosdi dan Amirul Zazwan. Thailand pula menurunkan dua nama yang cukup dikenali dalam saingan Sepak Takraw League (STL) iaitu Jakkrit Thinbangbon dan Sutthikiart Panseankaew.

Jakkrit pernah beraksi untuk pasukan Perak Bisons pada musim 2023. Sutthikiart pula merupakan killer wakil Pantai Timur, Terengganu Turtles selama dua musim.

Aksi pertama regu berpasukan menyaksikan Thailand meraih mata pertama. Meskipun begitu, Malaysia memberi tentangan sengit sebelum tewas dengan keputusan 15-11, 12-15, 17-15.

Malaysia memerlukan regu kedua untuk meraih mata penyamaan. Atas sebab itu, jurulatih, Ahmad Jais Baharom mempertaruhkan Noraizat Nordin, Haziq Nizam dan Farhan Adam sebagai regu kedua.

Thailand pula mempertaruhkan sentuhan Tanaphon Sapyen, Sittipong Kamchan dan Sirisak Anuloon.

Pada awalnya, regu negara meraih kemenangan set pertama dengan keputusan 15-13. Walau bagaimanapun, Thailand bangkit mengungguli dua set dengan keputusan 15-13, 15-4.

Keputusan ini sudah cukup buat Thailand muncul juara acara regu berpasukan Piala Asia Sepak Takraw.