Jurulatih Thailand, Mano Polking baru-baru ini telah mengeluarkan senarai 26 pemain yang akan mengharungi Pusingan 2 Kelayakan Piala Dunia 2026/Piala Asia 2027.
Skuad yang diumumkan merupakan sebuah skuad yang agak kuat dengan empat pemain luar negara turut dipanggil iaitu Elias Dolah (Bali United), Ekanit Panya (Urawa Red), Supachok Sarachat (Consadole Sapporo) dan Suphanat Mueanta (OH Leuven).
Selain empat pemain luar negara, Polking juga telah memanggil empat pemain berpengalaman yang sering kali menyarung jersi Thailand iaitu Chanathip Songkrasin, Teerasil Dangda, Theerathon Bunmathan dan Pansa Hemviboon.
Malang buat penyerang Terengganu FC, Adisak Kraisorn apabila beliau terus disisihkan dari dipanggil ke skuad kebangsaan. Turut tidak dipanggil adalah pemain tengah kreatif mereka, Thitipan Puangchan.
Senarai 26 pemain yang dipanggil itu telah dikongsikan oleh Asean Football melalui laman X rasmi mereka.
Thailand dijadualkan melalui dua perlawanan Kelayakan Piala Dunia dengan perlawanan pertama menentang China pada 16 November di laman sendiri sebelum aksi kedua menentang Singapura pada 21 November di Stadium Nasional Singapura.