Jaguh bola sepak Asia Tenggara, Thailand berdepan masalah kecederaan menjelang aksi kedua Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menentang Malaysia.
Sebelum ini, skuad Gajah Perang ceria apabila berpesta gol menewaskan Timor Leste 10-0 di Stadium Hang Day, Hanoi pada 8 Disember lalu.
Ben Davis, Patrik Gustavsson, Suphanat Mueanta, Seksan Ratree, Teerasak Poeiphimai dan Nicholas Mickleson mencetak nama sebagai penjaring dalam perlawanan itu.
Walau bagaimanapun, Thailand yang dibimbing pengendali Jepun, Masatada Ishii terpaksa membayar kemenangan itu dengan harga yang mahal. Ini kerana skuad Gajah Perang terpaksa melupakan khidmat Davis kerana kecederaan pergelangan kaki.
Wartawan sukan Thailand, Ta Lao melaporkan pemain tengah Uthai Thani itu perlu berehat sekurang-kurangnya dua minggu akibat kecederaan berkenaan.
“Ben Davis bakal berehat untuk sekurang-kurangnya dua minggu selepas mengalami kecederaan pergelangan kaki dalam aksi menentang Timor Leste,” katanya di X.
Berita ini memberi tamparan hebat kepada Thailand kerana Davis sudah meledakkan dua gol dalam penampilan keduanya di peringkat antarabangsa.
Ishii memiliki pilihan untuk menurunkan Supachok Sarachat, Ekanit Panya dan Seksan sebagai alternatif untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan Davis.
Thailand bakal berdepan Harimau Malaya di Stadium Rajamangala pada 14 Disember ini.