Menjelang aksi kelayakan Piala Dunia 2026 menentang China, Thailand mendapat perkhabaran gembira hari ini.
SiamSport melaporkan China terpaksa melupakan khidmat pemain sayap Shandong Taishan, Li Yuanyi kerana perlu menjalani penggantungan perlawanan.
Ini selepas Persatuan Bola Sepak China (CFA) menerima makluman daripada Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) bahawa Yuanyi perlu menjalani penggantungan dua perlawanan.
Ini bermakna pasukan yang dibimbing Branko Ivankovic itu terpaksa melupakan khidmatnya untuk perlawanan menentang Thailand dan Korea Selatan.
Mengikut data Transfermarkt, Yuanyi bukan saja mampu beraksi sebagai pemain sayap kanan dan kiri. Malah, beliau juga mampu beraksi sebagai bek kanan jika diperlukan.
Ini menjejaskan harapan pemain berusia 30 tahun itu untuk menambah dua penampilan antarabangsa bersama China pada bulan hadapan.
Yuanyi dipanggil Ivankovic menyertai Dragon’s Team pada Mac lalu dan merekodkan dua penampilan semasa menentang Singapura.
Meskipun beraksi di gelanggang lawan, kelebihan ini mahu dimanfaatkan jurulatih Thailand, Masatada Ishii untuk mencipta kejutan ke atas China pada 6 Jun ini.