Thailand Terima Durian Runtuh RM645,000
MakanBola
FA Thailand

Skuad kebangsaan Thailand menerima durian runtuh sebanyak lima juta baht (RM645,000) susulan kejayaan bergelar juara King’s Cup 2024.

Pengumuman bonus berkenaan dinyatakan sendiri oleh Presiden Persatuan Bola Sepak Thailand (FAT), Nualphan Lamsam atau Madam Pang.

Thailand muncul juara King’s Cup dengan mengalahkan Syria 2-1 di pentas final. Ekanit Panya dan Chanathip Songkrasin menyumbat gol kemenangan buat tuan rumah.

Ini sebagai tanda penghargaan kepada skuad Gajah Perang yang menjulang trofi kejohanan buat kali ke-16. Kali terakhir Thailand merasai nikmat bergelar juara King’s Cup ialah tahun 2017.

Madam Pang turut melihat kejayaan ini bakal menyemarakkan lagi populariti sukan bola sepak di Thailand terutama di wilayah selatan negara itu.

“Terima kasih kepada pihak media untuk semua berita tentang skuad kebangsaan Thailand, kita percaya kejayaan memenangi King’s Cup akan menaikkan populariti bola sepak di semua wilayah.

“Saya percaya bukan hanya di sebelah selatan tetapi di setiap wilayah bahawa mereka berpeluang menjadi penganjur King’s Cup edisi seterusnya.

“Hari ini, saya bersyukur dengan sokongan padu penyokong dari belah selatan Thailand. Hari ini, saya menyatakan juara bakal menerima bonus sebanyak lima juta baht (RM645,000),” katanya dalam satu kenyataan.

Selain bonus dari segi kewangan, Thailand juga berada dalam kelompok 100 pasukan terbaik dunia mengikut ranking Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA).

Kejayaan mengalahkan Syria menyaksikan Thailand kini berada di tangga ke-97 selepas menambah mata ranking sebanyak 3.40 mata.

Thailand boleh saja mendaki satu lagi anak tangga ke kedudukan ke-96. Ini bergantung kepada keputusan perlawanan Liga Negara-Negara UEFA (UNL) antara Luxembourg dan Belarus pada awal pagi 16 Oktober ini.

Ini menjadikan skuad Gajah Perang sebagai pasukan terbaik ASEAN dari segi ranking FIFA ketika ini. Pencabar terdekat mereka, Vietnam berada pada kedudukan ke-116 dunia.