Thailand berpeluang menurunkan barisan terbaik menjelang aksi ketiga Kumpulan A ASEAN Championship 2024 menentang Malaysia.
Sebelum ini, beberapa pemain skuad Gajah Perang tidak dapat menyertai pasukan itu kerana perlu memenuhi komitmen pasukan baik di Thailand mahupun di luar negara.
Ini menyebabkan jurulatih Thailand, Masatada Ishii memberi peluang kepada ramai pemain baru dalam aksi pertama Kumpulan A menentang Timor Leste pada 8 Disember lalu.
Meskipun dibarisi ramai pemain baru, itu tidak menghalang Thailand daripada merekodkan kemenangan besar 10-0 ke atas Lafaek.
Kini, akaun All Things Thai Football melaporkan lima pemain sudah melapor diri untuk menyertai kem latihan skuad Gajah Perang. Lima pemain tersebut ialah Jonathan Khemdee, Apisit Sorada, Kampol Pathomakkakul, Ekanit Panya dan Supachok Sarachat.
Jonathan, Apisit dan Kampol menyertai skuad Thailand selepas memenuhi komitmen perlawanan kelab mereka, Ratchaburi. Ekanit dan Supachok pula masing-masing kembali selepas tamat kempen J1 League musim 2024.
Kehadiran lima pemain ini memberi kelegaan kepada Ishii selepas terpaksa melupakan khidmat pemain Uthai Thani, Ben Davis. Davis perlu berehat selama dua minggu kerana kecederaan buku lali.
Kelebihan ini bakal dimanfaatkan Thailand untuk aksi menentang Harimau Malaya pada 14 Disember ini di Stadium Rajamangala.