FA Cup: Manchester United Tewaskan Fulham, Mara Ke Separuh Akhir
MakanBola
Manchester United
Sponsors

Misi Manchester United memburu tiga trofi musim ini diteruskan hari ini. Ini selepas anak-anak buah Erik ten Hag menyingkirkan Fulham 3-1 di saingan suku akhir FA Cup yang berlangsung di Old Trafford.

Dengan Red Devils terkeluar daripada saingan memburu kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL), kini fokus mereka ialah memburu baki dua trofi iaitu FA Cup dan Liga Europa. Bagaimanapun, untuk perlawanan hari ini, United turun tanpa kelibat Casemiro yang menjalani penggantungan empat perlawanan.

Ad

Separuh masa pertama menyaksikan kedua-dua pasukan bergelut mencari sentuhan penyudah. Begitupun, Cottagers tampak lebih garang dan hampir mendahului pada minit ke-13 menerusi Harrison Reed tetapi ia berjaya dikeluarkan pertahanan United.

Ad

Sementara Red Devils pula hampir membuka jaringan menerusi Jadon Sancho pada minit akhir babak pertama. Bagaimanapun, tindakannya menghantar semula bola kepada Marcel Sabitzer daripada menguji penjaga gol Fulham, Bernd Leno menyebabkan pasukan pelawat berupaya mengeluarkan bola.

Dengan kedua-dua pasukan buntu pada babak pertama, anak-anak buah Marco Silva tampil lebih garang pada babak kedua. Dan kesungguhan mereka membuahkan hasil apabila penyerang Serbia, Aleksandar Mitrovic menolak masuk gol pada minit ke-50.

Ad

Kelebihan fizikal yang dimiliki bekas penyerang Newcastle United itu sukar dicapai duo bek tengah Red Devils, Harry Maguire dan Lisandro Martinez. Dan Mitrovic hampir menambah gol kedua menerusi tandukan pada minit ke-65 tetapi berjaya ditepis penjaga gol United, David de Gea.

Ad

United kemudiannya dianugerahkan sepakan penalti pada minit ke-71 selepas VAR mendapati bekas pemain sayap Chelsea, Willian menepis bola menggunakan tangan di atas garisan gol. Susulan itu, pengadil Chris Kavanagh turut melayangkan kad merah terhadap pemain Brazil itu.

Ad

Keputusan tersebut mencetuskan kemarahan pemain-pemain Fulham. Mitrovic kemudiannya turut menerima nasib sama selepas didapati cuba menepis tangan pengadil. Pengurus mereka, Silva juga dikenakan tindakan sama sekaligus menyaksikan Fulham bermain dengan sembilan orang.

Bruno Fernandes tenang menewaskan Leno bagi menyamakan kedudukan untuk United pada minit ke-75. Sabitzer kemudiannya menambah gol kedua tuan rumah selepas mudah menolak masuk hantaran Luke Shaw.

Red Devils kemudiannya menambah gol ketiga menerusi Fernandes pada minit akhir perlawanan. Dengan kemenangan ini, separuh akhir FA Cup bakal menyaksikan pertembungan United dengan Brighton.

Selepas dimalukan 2-1 di Old Trafford awal musim ini, sudah pasti ten Hag tidak mahu perkara sama berulang dalam saingan trofi berkenaan. Sementara anak-anak buah Roberto De Zerbi pula berharap dapat mara ke final sejak 1983.