Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski memaklumkan slot kesebelasan utama bakal menjadi rebutan semua pemain termasuk yang berstatus pemain warisan.
Sebelum aksi menentang Nepal pada 25 Mac lalu, Cklamovski menggugurkan tujuh pemain termasuk bek kiri CD Tenerife B, Gabriel Palmero, Natxo Insa dan Haqimi Azim Rosli.
Hanya Hector Hevel yang tersenarai dalam kesebelasan utama menentang The Gorkhalis. Pemain tengah Portimonense itu membantu Harimau Malaya meraih kemenangan 2-0.
Lebih manis, Hevel turut merekodkan penampilan pertamanya dengan gol pertama bersama skuad negara.
Cklamovski memaklumkan tiada jaminan tempat dalam kesebelasan utama buat semua pemain Malaysia terutama yang berpangkalan di luar negara.
Ini bertujuan bukan saja merancakkan persaingan dalam kem negara. Malah, ini mendorong semua pemain untuk berusaha memberikan yang terbaik agar terpilih dalam skuad pada hari perlawanan.
“Hanya disebabkan anda pemain Malaysia yang berpangkalan di luar negara, itu tidak bermakna anda boleh masuk dalam kesebelasan utama atau skuad (pada hari perlawanan).
“Mereka (perlu berjuang) untuk mendapatkannya,” katanya kepada wartawan Astro Arena, Zulhelmi Zainal Azam.
Selepas ini, tumpuan Harimau Malaya beralih kepada Vietnam untuk aksi kedua kelayakan Piala Asia 2027. Aksi itu bakal berlangsung pada 10 Jun ini.