CEO Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menegaskan akan ada perubahan baharu yang akan berlaku pada musim hadapan demi mengembalikan semula kegemilangan pasukan yang sarat dengan sejarah kejayaan itu.
Pihak pengurusan Selangor FC juga ambil maklum dan peka dengan kemarahan yang diluahkan para penyokong selepas melalui musim yang tidak begitu baik.
“Kami sedar peminat tidak berpuas hati, dan kami akan melakukan perubahan untuk musim baharu. Bekas ketua jurulatih Michael Feichtenbeiner tidak lagi terlibat dalam pasukan,” jelas Johan.
“Ia kini 100 peratus di bawah jurulatih sementara Nidzam Jamil. Feichtenbeiner hanya membantu dari segi peralihan untuk musim baharu sehingga kita jumpa pengganti.
Kontak Feichtenbeiner yang akan tamat musim ini juga tidak akan disambung. Buat masa sekarang, pihak pengurusan akan menilai kemampuan Nidzam Jamil dalam membimbing pasukan Selangor dan mereka tidak akan tergesa-gesa untuk melantik pengendali baharu.
“Kami akan menilai prestasi Nidzam terlebih dahulu. Kami tidak tergesa-gesa untuk melantik orang baharu. Memang ada beberapa calon dan kami sedang dalam proses saringan,” jelas Johan lagi kepada NST.