Stadium Shah Alam yang cukup dikenali peminat bola sepak Malaysia sudah tiada lagi.
Ini selepas Kompleks Sukan Shah Alam (KSSA) memuat naik imej terkini kerja perobohan stadium tersebut.
KSSA memaklumkan kerja merobohkan kolum terakhir Stadium Shah Alam selesai pada jam 10.20 pagi ini. Ini bermakna struktur asal stadium tersebut sudah tiada lagi.
Sebelum ini, fasa perobohan dilaporkan telah mencapai 60%. Sekiranya fasa perobohan Stadium Shah Alam berjalan lancar, fasa tersebut bakal selesai menjelang pertengahan tahun 2025.
Ini akan membuka jalan kepada fasa pembinaan Stadium Shah Alam yang baru. Fasa pembinaan stadium baru itu dijangka selesai pada tahun 2028.
Selain fasa pembinaan stadium, fasa pembinaan KSSA sepenuhnya pula dijangka siap menjelang tahun 2030.
Stadium baru yang bakal dibina menggantikan Stadium Shah Alam itu bakal memiliki kapasiti antara 40,000 hingga 50,000 tempat duduk.
Fasa kedua pula membabitkan pembinaan teater tertutup, sayap sukan dan belia serta kawasan rekreasi. Fasa terakhir pula memberi fokus kepada pembinaan hotel dan terminal bas bersepadu.
KSSA juga bakal dihubungkan dengan sistem keretapi aliran ringan (LRT). Ini kerana stesen LRT bagi Laluan Shah Alam (LRT3) telah dibina berhampiran kawasan Stadium Shah Alam dan bakal beroperasi pada 2025.