Presiden Persatuan Bola Sepak Selangor (FAS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah dengan tegas menyatakan bahawa tidak pernah ada parasit dalam pengurusan pasukan Selangor.
Sebelum ini, terdapat beberapa pihak yang menganggap bahawa ada parasit hidup dalam pengurusan sekaligus menyebabkan prestasi pasukan Selangor merosot.
Oleh hal yang demikian, Tengku Amir Shah menyeru kepada peminat Selangor untuk terus menyokong dan tidak mudah untuk mempercayai anasir-anasir luar yang boleh memecahbelahkan penyokong.
“Beta ingin tekankan dan memberi jaminan bahawa tidak pernah ada parasit di dalam pengurusan beta.
“Beta ingin menyeru semua penyokong Selangor untuk terus bersatu dan tidak mudah berpaling daripada kebersamaan kerana pengaruh unsur-unsur luar yang tidak tepat dan ingin memecahbelahkan kita.
Dalam pada itu, Raja Muda Selangor (RMS) turut mengakui bahawa prestasi Selangor di Liga Malaysia masih tiada perubahan.
Namun, Baginda memberi jaminan akan tetap komited untuk terus memacu Selangor ke peringkat yang yang lebih baik di masa akan datang.
“Beta mengakui bahawa kita masih belum mencapai kejayaan di atas padang, namun beta tidak akan berputus asa dan tetap komited untuk membawa kelab ini ke peringkat tertinggi,” kata RMS dalam satu kenyataan di media sosial Selangor FC.