Trivia
ESPN FC
Advertisements

Menjadi jurulatih yang hebat, tidak semestinya mempunyai rekod cemerlang ketika bergelar pemain dan dan begitulah sebaliknya perjalanan karier yang cemerlang sebagai pemain tidak semestinya menjadikan seseorang itu sebagai jurulatih yang bagus.

Dalam Liga Malaysia sendiri, hanya segelintir yang berjaya membina reputasi yang baik dalam kedua-duanya, sebagai pemain dan juga jurulatih.

Berikut lima anak tempatan yang kami rasakan wajar berada di dalam senarai individu yang berjaya sebagai pemain dan juga jurulatih :

Advertisements

Chow Kwai Lam

Mendiang telah meninggal dunia pada Julai 2018 setelah beberapa tahun menderita sakit tua.

Sebagai pemain, Kwai Lam pernah bermain untuk Negeri Sembilan dan Selangor sekitar tahun 1960-an dan 70-an. Beliau dianggap antara pemain dengan kebolehan luar biasa pada zamannya itu.

Advertisements

Kwai Lam juga mewakili skuad negara selama enam tahun dari 1965 – 1971 malah turut menganggotai skuad Asian All Stars menentang Arsenal pada 1968. 

Antara pencapaian terbaiknya adalah memenangi Piala Malaysia sebanyak tiga kali bersama Selangor dan membantu Selangor muncul naib juara edisi sulung Kejuaraan Kelab-Kelab Asia pada 1967, tewas kepada Hapoel Tel Aviv.

Manakala sebagai jurulatih Kwai Lam pernah membimbing banyak pasukan antaranya pasukan kebangsaan, Selangor, Sarawak, Kuala Lumpur, Perak serta kelab Singapura Tampines Rovers.

Advertisements

Pencapaian terbaik sudah tentunya menjulang tiga kali Piala Malaysia bersama Selangor pada 1979, 1981 dan 1982 dan menambah tiga lagi koleksi Piala Malaysia bersama Kuala Lumpur ketika mereka memenangi gelaran hatrik pada 1987, 1988 dan 1989.

Beliau turut memenangi gelaran liga dan Piala Sumbangsih bersama Kuala Lumpur pada 1988, naib juara liga pada 1987 dan 1989 serta membawa pasukan warga kota layak ke separuh akhir peringkat kumpulan di Kejuaraan Kelab-Kelab Asia 1987.

Bersama Tampines, Kwai Lam menjulang Piala Singapura pada 2002.

Advertisements

Yunus Aliff

Yunus memulakan karier bersama Terengganu pada tahun 1976 hingga 1979 sebelum merantau ke Pahang mulai tahun 1980 dan mengakhiri karier sedekad kemudian. Antara kejayaan pernah dikecapi beliau termasuklah menjulang Piala Malaysia pada tahun 1983 dan muncul penjaring terbanyak liga pada 1984 dengan 14 gol.

Sebagai pemain kebangsaan, Yunus menyarung jersi Harimau Malaya dari 1979 hingga 1987 dan dalam tempoh itu memenangi pingat perak di Sukan SEA Manila 1981 dan juga Jakarta 1987.

Selepas bersara, Yunus kekal bersama Pahang dan menceburi bidang kejurulatihan sebagai pembantu kepada Tajudin Nor pada 1991. Selepas Tajudin dilantik sebagai pengurus pasukan pada 1995, Yunus mendapat kepercayaan untuk menjadi ketua jurulatih baru skuad tok gajah.

Dia membimbing Pahang menjuarai Liga Perdana Satu dan melangkah ke final Piala FA pada 1995 selain dua kali muncul naib juara Piala Malaysia 1995 dan 1997.

Yunus kembali ke Terengganu pada 1998 dan membimbing mereka menjulang Liga Perdana Dua tahun tersebut dan setahun kemudian muncul naib juara Piala FA sebelum memperbaiki pencapaian tersebut dengan muncul juara pada 2000.

Mat Zan Mat Aris

Mat Zan menghabiskan sepenuh kariernya sebagai pemain dengan menyarung jersi Kuala Lumpur.

Mat Zan digelar ‘orang besi’ ketika zaman kegemilangannya dan menjadi tonggak yang membantu Kuala Lumpur menjulang hatrik Piala Malaysia pada 1987, 1988 dan 1989, manakala bersama pasukan kebangsaan dia memenangi pingat emas Sukan SEA 1989.

Beliau berjinak dengan bidang kejurulatihan bermula 1996 apabila melatih pasukan DBKL FC tetapi hanya selepas dia membimbing Kuala Lumpur pada 1999 kredibiliti sebenarnya mula terserlah.

Dia membawa skuad warga kota menjuarai Piala FA pada 1999 dengan menewaskan Terengganu dan pada tahun 2000 menjulang Piala Sultan Ahmad Shah.

Mat Zan Tidak Semua Pemain Yang Hebat Boleh Menjadi Jurulatih Yang Hebat
Kredit foto: Melaka FA

Pada 2001, Mat Zan dipancing Terengganu dan meneruskan sentuhan emasnya dengan membantu pasukan itu menjulang Piala Sultan Ahmad Shah dan Piala Malaysia buat pertama kali, selain menamatkan saingan Liga Perdana Satu selaku naib juara. 

Dia juga membantu KL Plus melayakkan diri ke Liga Super dengan muncul naib juara Liga Perdana pada 2008. Mat Zan kembali menyertai Terengganu pada 2012 dan membantu mereka layak ke separuh akhir Piala FA serta pusingan kedua Piala AFC sebelum dipancing FAM untuk membimbing skuad Harimau Muda B (skuad bawah 21 tahun) pada 2013.  

Pada 2015, Mat Zan menyertai Melaka United dan bertanggungjawab memulihkan imej bolasepak negeri itu. Selepas lima musim bermain di Liga FAM, Mat Zan membawa mereka keluar dari ‘zaman gelap’ dengan merangkul gelaran Liga FAM – trofi pertama dimenangi pasukan itu selepas 32 tahun.

Setahun kemudian Mat Zan membantu mereka menjulang pula Liga Premier dan kembali beraksi di Liga Super selepas sembilan tahun. 

Dollah Salleh (Gambar Utama)

Dollah diketahui sebagai antara pemain berprofil tinggi pada zamannya dan gandingannya bersama Zainal Abidin Hassan di barisan depan dianggap sebagai gandingan ‘penyerang kembar’ terbaik pernah disaksikan selepas era James Wong dan Hassan Sani.

Antara pencapaian Dollah sebagai pemain adalah memenangi gelaran liga dan Piala Malaysia pada 1992 bersama Pahang selain turut pernah memenangi pingat emas Sukan SEA 1989 di Kuala Lumpur.

Beliau juga membantu pasukan negara muncul naib juara edisi sulung Piala Tiger 1996.

Dollah bersara sebagai pemain pada penghujung 1998 dan terjun ke bidang kejurulatihan pada 2005.

Beliau tidak menunggu lama untuk mencipta nama apabila membawa MPPJ Selangor muncul kelab pertama menjulang Piala Malaysia dan setahun kemudian menjuarai pula Piala Sumbangsih serta Liga Perdana 2004 sehingga menyaksikannya dilabel jurulatih dengan sentuhan magis.   

Dollah kemudian menyertai Selangor pada 2005 dan membantu Red Giants mencipta sejarah menjulang tiga gelaran Liga Perdana, Piala Malaysia dan Piala FA selain bergelar naib juara Piala FA dan Piala Malaysia pada 2008.   

Anak kelahiran Melaka ini membawa Pahang kembali ke Liga Super pada 2012 sebelum mencipta satu lagi sejarah pada 2013 apabila menoktahkan kemarau 21 tahun Pahang untuk menjulang Piala Malaysia. Pada 2014, Dollah membawa PDRM menjuarai Liga Perdana dan terus dilamar untuk mengalas tanggungjawab selaku jurulatih kebangsaan.

Dia membimbing Harimau Malaya muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2014. Dollah kembali membimbing Pahang pada 2017 menyaksikan mereka muncul naib juara Piala FA dan seterusnya bergelar juara pada tahun 2018.  

Allahyarham Tan Sri Abdul Ghani Minhat

Beliau tidak digelar raja bola tanpa sebab. Penyerang terbaik pernah disaksikan negara dengan rekod jaringan menakjubkan sama ada ketika menyarung jersi Selangor mahupun kebangsaan.

Pelbagai kejayaan dan trofi didakapnya sepanjang 13 tahun bermain untuk Selangor dan tujuh tahun menyarung jersi kebangsaan. Bersama Selangor, Ghani menjulang lapan trofi Piala Malaysia dan jaringannya di separuh akhir membantu kemaraan ke final Kejuaraan Kelab-Kelab Asia 1967.

Bersama pasukan kebangsaan beliau menjulang antaranya Pestabola Merdeka tiga kali pada 1958, 1959 dan 1960, pingat emas Sukan SEAP 1961 dan pingat gangsa Sukan Asia 1962 di mana dia menjaringkan kesemua empat gol ketika menewaskan Vietnam Selatan di aksi play-off tempat ketiga.

Sebagai jurulatih, pasukan negara adalah pasukan pertama dikendalikannya pada 1969 di mana beliau membawa Malaysia muncul naib juara Pestabola Merdeka dan memenangi gangsa Sukan SEAP.

Sepanjang membimbing Selangor sebanyak dua kali dari 1970-1973 dan 1983-1985, Ghani menjulang Piala Malaysia empat kali, Piala FAM, Liga Malaysia dan Piala Sumbangsih kesemuanya sekali. Beliau juga merupakan individu pertama dalam arena bolasepak tempatan untuk menjulang Piala Malaysia sebagai pemain dan jurulatih pada 1971.

Weekly Contest & Free Gift

Join us on Telegram today.

Join Telegram