Aksi separuh akhir Piala FA 2024 membabitkan Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC) dijangka menarik kehadiran ramai penyokong.
Ini kerana aksi separuh akhir pertama bakal berlangsung di Stadium Darul Aman, Alor Setar pada 19 Julai ini. Ini kali pertama kedua-dua pasukan bertemu sejak Kedah mengikat JDT 3-3 dalam aksi liga pada 26 Ogos 2023.
Aura penyokong dijangka ditagih pengurusan Kedah untuk membantu anak buah Nafuzi Zain melakar kejutan ke atas Harimau Selatan buat kali kedua.
Atas sebab itu, tiket perlawanan dijual di platform Ticket Hotline pada harga serendah RM13.60. Dan mengikut maklumat terkini, kira-kira 6,701 tiket telah dijual secara dalam talian dan fizikal.
Pengurusan Kedah menyifatkan bilangan ini sebagai bilangan tertinggi yang direkodkan dari segi penjualan tiket sehari sebelum hari perlawanan. Sang Kenari berharap aura 25,000 penyokong dapat membanjiri Stadium Darul Aman pada hari perlawanan nanti.
Bagi penyokong yang belum berkesempatan mendapatkan tiket, mereka boleh saja mendapatkan tiket secara dalam talian menerusi platform Ticket Hotline.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket secara fizikal, mereka boleh mendapatkannya di House of Sang Kenari, Fantasia Aqua Park, Fitstadia, Planet Hijau Kuning dan pejabat pasukan Kedah.
Bagi yang ingin mendapatkan tiket pada hari perlawanan, mereka boleh mendapatkannya di Kaunter A, B dan F, Stadium Darul Aman bermula jam 10.00 pagi hingga 9.00 malam.
Semua kaunter tiket akan ditutup jam 12.30 tengah hari hingga 3.30 petang bagi memberi laluan kepada solat Jumaat.