Meskipun aksi Kedah Darul Aman FC (KDA FC) dan Terengganu FC bakal berlangsung pada 19 Oktober ini, sambutan dilihat dingin.
Ini berdasarkan bilangan tiket perlawanan yang dijual untuk aksi berkenaan. Difahamkan hanya empat keping tiket yang terjual setakat ini seperti yang disiarkan di platform media sosial rasmi Kedah.
Apabila ramai penyokong bertanya mengapa tindakan tersebut dibuat, pengurusan Sang Kenari memaklumkan ia dibuat untuk menerangkan trend pembelian tiket secara dalam talian masih kurang.
Atas sebab itu, pengurusan Kedah berharap dengan pengumuman ini, ini dapat membantu mereka merancang pembelian tiket baik secara dalam talian mahupun fizikal.
“Tujuan kongsi penjualan semasa untuk mewujudkan kesedaran masih sedikit penjualan (tiket) walaupun di Kedah trend pembelian adalah secara fizikal pada hari perlawanan.
“Untuk memudahkan penyokong merancang perjalanan, anda boleh membeli lebih awal secara dalam talian dan fizikal seperti makluman di atas bermula hari ini,” kata kelab dalam satu kenyataan.
Sebaik perkara ini disiarkan, ramai penyokong Kedah tampil menyatakan sokongan untuk mendapatkan tiket perlawanan Kedah dan Terengganu.
Ini kerana ini satu cara buat mereka menyokong pasukan itu yang ketika ini berdepan isu kewangan yang serius. Isu tersebut turut menyebabkan Kedah terpaksa melepaskan beberapa tonggak dalam tetingkap kedua perpindahan Liga Malaysia (Liga M) baru-baru ini.
Terdahulu, Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor bersedia membantu meringankan beban tunggakan gaji yang dihadapi pasukan itu.
Kedah berharap dapat mengulangi kejayaan mengalahkan Terengganu di Stadium Darul Aman yang dicapai pada 1 Mac 2023. Fadzrul Daniel muncul wira dengan meledakkan gol kemenangan pada minit akhir perlawanan.