Dengan pusingan kedua Liga Super sudah bermula, Kelantan FC tahu mereka perlu bangkit untuk keluar dari kelompok tercorot liga. Atas sebab itu, pemilik pasukan, Norizam Tukiman atau Zamsaham mengumumkan harga tiket perlawanan Kelantan-Sri Pahang pada 23 Jun ini dijual pada harga RM3.
Dalam satu pengumuman di Facebook, penyokong yang mahu mendapatkan tiket pada harga berpatutan ini perlu mendapatkannya segera. Ini kerana hanya 4,000 penyokong terawal yang berpeluang mendapatkan tiket pada harga tersebut.
Begitu juga dengan penyokong The Red Warriors (TRW) yang mahu mendapatkan tiket di ruangan astaka. Hanya 500 tiket ditawarkan dengan harga RM9.
Bagi mengelak pembelian tiket secara berlebihan, pembeli hanya boleh membeli tiga keping tiket. Jualan tiket murah ini dibuat secara fizikal di TRW Shop pada hari ini dari jam 10.00 pagi hingga 6.00 petang.
Zamsaham turut mengumumkan OKU boleh masuk ke stadium secara percuma. Inisiatif sama turut dipanjangkan kepada kanak-kanak yang berusia 10 tahun ke bawah.
Semua inisiatif ini bukan saja bertujuan merancakkan lagi kemeriahan suasana di Stadium Sultan Muhammad IV pada hari perlawanan.
Malah, dengan sokongan padu penyokong Kelantan FC, ia diharap dapat membakar semangat pemain untuk menundukkan Sri Pahang FC sekaligus mengakhiri kemarau kemenangan mereka sejak Mac lepas.