Pertembungan Singapura menentang jaguh Asia, Korea Selatan dijangka bakal dibanjiri lebih puluhan ribu penonton.
Kedua-dua pasukan ini akan bertemu dalam perlawanan kelima peringkat kumpulan C Kelayakan Piala Dunia 2026 pada 6 Jun hadapan dengan sepak mula dijadualkan pada jam lapan malam waktu tempatan.
Stadium Nasional Singapura yang berkapasiti sekitar 50,000 yang dipilih sebagai venue perlawanan bakal menerima kunjungan puluhan ribu peminat yang akan hadir bagi menonton aksi hangat ini.
Menerusi satu ciapan yang dibuat oleh Persatuan Bola Sepak Singapura (FAS) di laman X, setakat ini sudah hampir 40,000 tiket terjual selepas hanya beberapa hari jualan dibuka.
“Jutaan terima kasih kepada para penyokong yang mengagumkan kerana merealisasikan perkara ini. 39,268 tiket telah terjual hanya dalam tempoh enam hari!,” tulis FAS dalam ciapan tersebut.
Kedua-dua pasukan pernah bertemu ketika aksi kedua peringkat kumpulan sebelum ini yang menyaksikan Korea Selatan tidak berdepan masalah untuk membelasah Singapura 5-0 di Seoul November lalu.
Singapura kini terdesak bagi memburu kemenangan pertama mereka setelah menduduki tangga tercorot kumpulan dengan satu mata hasil satu keputusan seri daripada empat perlawanan.
Manakala Korea Selatan yang kini dibimbing Hwang Sun-hong bakal turun sebagai pasukan pilihan setelah selesa mendahului carta kumpulan dengan 10 mata, tiga mata di hadapan pasukan di tempat kedua, China.