Dengan Pestabola Merdeka 2023 bakal diadakan pada Oktober ini, FAM membuat ketetapan tiket kejohanan akan dijual bermula 9 Ogos ini dengan harga serendah RM5.
FAM dalam satu kenyataan hari ini menyatakan sebelum ini telah menetapkan 1 Ogos sebagai tarikh bermulanya jualan tiket Pestabola Merdeka 2023.
Bagaimanapun, disebabkan undian pasukan bertanding hanya akan dibuat pada 8 Ogos ini, maka tarikh penjualan tiket diubah kepada 9 Ogos.
Pestabola Merdeka 2023 bakal menampilkan skuad Harimau Malaya, Palestin, Lubnan dan India dengan format kejohanan secara kalah mati. Aksi pertama kejohanan bakal diadakan pada 13 Oktober dengan 17 Oktober sebagai aksi final dan penentuan tempat ketiga.
Untuk kategori Terbuka, tiket orang dewasa berharga RM40 dengan tiket kanak-kanak berusia enam hingga 12 tahun pula berharga RM5.
Penyokong yang mahu mendapatkan tiket Grandstand dan Premium masing-masing perlu membayar RM60 dan RM80. FAM turut memperkenalkan tawaran istimewa Tiket Kombo RM70 untuk kedua-dua hari perlawanan tetapi ia hanya dijual di bawah kategori Terbuka.
Menariknya, tiket kombo ini boleh didapati di Ticket Hotline untuk tempoh terhad dari 9 Ogos hingga 5 September ini.
Setelah itu, tiket Kategori Terbuka pada harga normal, tiket Kategori Grandstand dan Premium akan dijual kepada para penyokong bermula sehari selepas itu.