Skuad kebangsaan Indonesia menerima tiga hukuman daripada Jawatankuasa Disiplin Persekutuan Bola Sepak Antarbangsa (FIFA) baru-baru ini.
Tiga hukuman ini dijatuhkan menjelang aksi kelima pusingan kelayakan Piala Dunia 2026 antara Tim Garuda dan Jepun di Gelora Bung Karno pada 14 November ini.
Tiga hukuman tersebut ialah pertama, Indonesia didenda 10,000 Swiss Franc (RM50,000). Denda tersebut dikenakan susulan kelewatan Tim Garuda yang mengakibatkan sepak mula aksi menentang China dilewatkan.
Kedua, pengurus Tim Garuda, Sumardji dikenakan denda 5,000 Swiss Franc (RM25,000) dan penggantungan satu perlawanan. Ini selepas beliau dikesan melakukan protes berlebihan terhadap pegawai perlawanan dalam aksi menentang Bahrain.
Akhir sekali, penganalisis perlawanan Indonesia, Kim Jong-jin dikenakan penggantungan empat perlawanan dan denda 5,000 Swiss Franc (RM25,000). Jong-jin dikesan melakukan protes berlebihan dalam aksi yang sama.
Selain Indonesia, Emiriah Arab Bersatu (UAE) turut berdepan hukuman denda daripada FIFA. UAE didenda sebanyak 11,000 Swiss Franc (RM55,000), 10,000 Swiss Franc (RM50,000) dan 20,000 Swiss Franc (RM100,000).
Hukuman pertama dijatuhkan gara-gara tindakan penyokong membaling objek dalam aksi menentang Iran pada September lalu. Manakala hukuman kedua dan ketiga dijatuhkan disebabkan UAE lewat untuk aksi menentang Korea Selatan dan Uzbekistan.