Tindakan N’Golo Kante Sentuh Hati Warganet
MakanBola
Al-Ittihad Club

Ramai warganet tersentuh melihat tindakan bekas pemain tengah Chelsea, N’Golo Kante dalam aksi terbaru Al-Ittihad.

Al-Ittihad turun beraksi menentang Al-Ahli untuk aksi terbaru Saudi Pro League (SPL) di Bandar Sukan Raja Abdullah pada awal pagi 1 November.

Ad

Tuan rumah meraih kemenangan menerusi gol tunggal penyerang Arab Saudi, Saleh Alshehri pada minit ke-42.

Ad

Al-Ahli kemudiannya cuba memburu gol penyamaan menerusi kuartet penyerang terdiri daripada Riyad Mahrez, Firas Al-Buraikan, Gabri Veiga dan Ivan Toney.

Rentak permainan pelawat kemudiannya terganggu apabila ribut memaksa perlawanan ditangguhkan selama lima minit. Ribut tersebut turut mengakibatkan banyak bendera melayang ke tengah padang.

Ad

Tatkala pemain kedua-dua pasukan menggunakan peluang ini untuk minum air, Kante memilih mengalihkan bendera yang dibaling ke luar padang. Gelagat bekas jeneral tengah Leicester City itu dirakam oleh wartawan Give Me Sport, Ben Jacobs.

Ad

Sebaik video tersebut dimuat naik di X, ramai peminat bola sepak memuji perilaku Kante. Ini kerana pemain berusia 33 tahun itu menunjukkan teladan yang baik baik di dalam mahupun di luar padang.

Ad

Salah seorang daripadanya ialah seorang pengguna X bernama NightBirdXI. Dia melihat tidak kira di mana saja Kante beraksi, perilakunya sentiasa disukai penyokong.

“Tidak kira (di mana) kelab bola sepak Kante bermain, anda akan sentiasa menyukai (sikap) beliau,” katanya di ruang komen Jacobs.

Turut bersetuju dengan pandangannya ialah seorang lagi pengguna bernama JohnsonOctavio2. Dia merasakan sikap Kante patut dicontohi bukan saja sebagai pemain bola sepak tetapi sebagai orang biasa.

“Kadang-kadang saya berharap Kante dapat kekal beraksi selamanya. Beliau memiliki semua perkara yang anda perlukan sebagai pemain bola sepak dan manusia,” ujarnya.

Ini bukan kali pertama keperibadian mulia Kante mendapat pujian penyokong. Meskipun menerima gaji mencecah puluhan ribu paun sterling, pemain tengah Perancis itu tetap memandu kereta Mini Cooper bernilai £10,000 (RM56,000) ke pusat latihan.

Kante menyertai Al-Ittihad sebagai ejen bebas selepas kontraknya bersama Chelsea tamat pada akhir musim 2023/24. Beliau merekodkan lapan penampilan dan satu gol dalam saingan SPL.

Sebelum ini, nama beliau menjadi sebutan peminat apabila menjadi pemilik kelab bola sepak Belgium, Royal Excelsior Virton.