Bekas penolong jurulatih Harimau Malaya, Mark Milligan sah dilantik sebagai pengendali baharu Newcastle Jets FC.
Pada 10 April yang lalu, Milligan mengambil keputusan untuk meninggalkan pasukan Harimau Malaya setelah hampir dua bulan bersama demi mencari peluang baharu di luar negara.
“Saya ingin mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan terima kasih buat Mark Milligan atas sumbangannya kepada skuad kebangsaan Harimau Malaya,” kata Peter Cklamovski dalam satu kenyataan.
Kini, masa hadapan Milligan akhirnya diketahui menerusi satu pengumuman oleh Newcastle Jets dan juga A-Leagues yang memperkenal pengendali kelahiran Australia itu akan melatih pasukan.
“Newcastle Jets dengan sukacita mengesahkan pelantikan Mark Milligan sebagai Ketua Jurulatih bagi kelab tersebut, dengan kontrak sehingga penghujung musim 2026/2027,” umum pihak kelab.
Dalam kenyataan yang sama, Milligan meluahkan rasa teruja untuk memulakan tugas baharu beliau itu malah menjelaskan bahawa strategi kelab selari dengan idea yang mahu dibawa nanti.
“Saya berasa teruja dan bersyukur atas peluang untuk menjadi ketua jurulatih baharu pasukan kelab ini,” kata Mark Milligan.
“Ini adalah masa yang cukup menarik di bawah pemilikan baharu Newcastle Jets.”
“Sejak awal lagi sudah jelas bahawa strategi mereka selari dengan visi saya buat pasukan yang akan dibina berasaskan pembangunan pemain dan akhirnya meraih kejayaan sebagai satu pasukan.”
Untuk rekod, Milligan pernah beraksi bersama Newcastle Jets pada musim 2008/2009 dan akan menjadi jurulatih pasukan utama buat kali pertama dalam karier beliau.