Salah satu punca kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) ialah profesionalisme dan kesungguhan para pemain semasa beraksi di atas padang. Dan bagi Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, perkara ini amat dititikberatkan baginda lebih-lebih lagi dengan gaji yang diterima mereka bukan sembarangan.
Ini kerana sebagai pemain profesional, mereka perlu memberi komitmen yang tinggi kepada pasukan. Sebarang persembahan yang bersifat sambil lewa pasti akan mencetuskan kemarahan bukan saja penyokong tetapi juga pihak pengurusan dan dianggap tidak profesional kepada pemain-pemain lain.
“Bagi saya, saya agak tegas dari segi persembahan mereka kerana mereka ini bukan terima gaji yang kecil ya. Jadi, oleh kerana benda itu, mereka harus sentiasa bersikap profesional, betul-betul profesional dari segi profesionalisme, menjalankan tugas mereka.
“Jadi, saya amat tegas dari segi hal berkenaan. Tetapi saya juga boleh orang kata bermurah hati, macam mana saya selalu jaga kebajikan pemain-pemain dan seterusnya.
“Benda itu mendapat respon positif bila kami menjaga orang yang bekerja dengan kami, mereka akan beri sepenuhnya,” titah baginda dalam temubual eksklusif bersama bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar menerusi segmen Bekpes Hot di Hot FM, pagi tadi.
Melihat kesungguhan pemain di atas padang, tidak hairanlah ia menjadi kunci kepada pelbagai pencapaian JDT termasuk Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia. Ketika ini, JDT unggul di persada Liga Super dengan 12 mata selepas empat perlawanan sambil diekori rapat Sabah dan Selangor.