Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, semakin ramai pemain Malaysia mencuba nasib bermain di luar negara. Tetapi bagi Tunku Mahkota Johor (TMJ), DYAM Tunku Ismail ibni Sultan Ibrahim, realitinya tidak seindah seperti yang disangka.
Dari satu segi, ia bagus kerana membantu pemain mengutip pengalaman baru dan meningkatkan kemahiran mereka di liga baru. Tetapi menurut baginda, perlu dilihat juga liga mana yang dituju dan kualiti pasukan yang disertai.
Dengan menjadikan beberapa pemain seperti Hadi Fayyadh, Luqman Hakim Shamsudin dan Wan Zack Haikal sebagai contoh, pemain-pemain ini berpeluang atau sedang beraksi di luar negara. Tetapi malangnya, mereka tidak diberi minit perlawanan atau pendedahan lawan berkualiti semasa beraksi di kelab-kelab yang pernah diwakili mereka.
“Tak semestinya bermain di luar negara bergantung kepada kategori liga yang menjanjikan (peluang) kesebelasan utama atau peluang menambahbaik kualiti pemain. Saya bagi contoh, Titus James dulu di main di Perancis beberapa tahun, apa sumbangan kepada pasukan kebangsaan?
“Sama juga dengan Luqman (Hakim Shamsudin) sekarang. Kesian juga saya tengok sebab dia seorang pemain yang baik, ada keperibadian yang baik. Tapi dengan (kekurangan) kualiti, minit atau peluang perlawanan. Eropah bukan senang, begitu juga dengan Jepun dan Korea.
“Kalau kita tengok Hadi Fayyadh, dia pergi Yakult bawa. Mana Hadi Fayyadh hari ini? Main (dengan) Perak. Sama juga dengan Wan Zack Haikal dan bek kiri, Nazirul Naim (Che Hashim) tak silap saya. Main di luar negara tak semestinya awak perlu sanjung,” titah baginda dalam satu rakaman video bersama Johor Southern Tigers hari ini.
Baginda berpandangan dengan pendedahan perlawanan dan latihan berkualiti, itu mampu membawa pemain ke tahap yang lebih tinggi seperti yang dinikmati pemain-pemain Johor Darul Ta’zim (JDT).
“Seperti contoh, kami beraksi dalam Liga Juara-Juara Asia (ACL), lawan pasukan 10 kali ganda lebih baik daripada kami. Itu adalah satu pengalaman yang bagus bagi mana-mana pemain yang beraksi dalam pasukan bola sepak Johor Darul Ta’zim.
“Kami boleh lihat sendiri (kesan) kualiti perlawanan dan kualiti latihan (kepada kualiti pemain). Jadi, tak semestinya main di luar, main bagus. Kalau ikut pandangan saya, saya tak setuju dengan pendapat itu.
“Bukan saja saya, anda boleh tanya mana-mana jurulatih dalam negara. Mana-mana individu yang berada dalam industri bola sepak dalam negara,” tambahnya.