Pemilik kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia, Tunku Ismail Sultan Ibrahim menggemparkan arena bola sepak tanah air menerusi hantaran yang memaparkan senarai pemain Harimau Malaya yang dipanggil ke kem latihan kebangsaan Mac ini.
Seperti yang sedia maklum, anak didik Kim Pan-gon bakal menghadapi dua aksi persahabatan menentang Turkmenistan dan juga Hong-Kong.
Walau bagaimanapun, antara perkara yang menarik perhatian adalah apabila baginda TMJ memuat naik satu hantaran yang memaparkan senarai pemain yang dipanggil beserta kelab dan juga tahun kelahiran mereka.
Perkara ini telah menjadi bualan hangat di media sosial mengenai percaturan yang cuba dilakukan terhadap kemajuan skuad kebangsaan.
Menurut perangkaan tersebut dapat difahami bahawa catatan tahun kelahiran tersebut merujuk kepada purata usia pemain yang dipanggil ke dalam skuad kali ini serta purata umur pemain yang berada dalam senarai bersedia.
Sungguhpun Kim Pan-gon kini masih berada dalam fasa menguji keserasian dan persediaan buatnya bagi mendapatkan skuad terbaik ke Piala Asia di Qatar tahun hadapan, ini merupakan langkah awal bagi hala tuju bola sepak negara.
Bukan itu sahaja, perangkaan ini berkemungkinan sudah pun dibincangkan antara barisan kejurulatihan, pihak FAM dan juga TMJ yang diketahui umum sebagai individu yang paling berjaya dalam kancah bola sepak negara bersama JDT.
Malah, tawaran fasiliti dan juga alatan kelangkapan buat skuad kebangsaan yang diberikan oleh TMJ juga merupakan salah satu usaha selain penukaran rumput di Stadium Nasional Bukit Jalil menunjukkan keseriusan baginda memperjuangkan bola sepak Malaysia.
Kejohanan besar seperti Piala Asia sudah tentu memerlukan perangkaan rapi dan usaha bersama ini dilihat sedang berlangsung tatkala Malaysia sudah tentu turut mahu memanfaatkan peluang memperbaiki kedudukan ranking FIFA.

Malaysia ketika ini berpeluang untuk menembusi kedudukan ranking 135 ke bawah sekiranya memanfaatkan aksi persahabatan di dalam kalendar FIFA dengan baik.