Pemilik Kelab Johor Darul Ta’zim (JDT), Duli Yang Amat Mulia Tunku Ismail Sultan Ibrahim ada memberikan respon mengenai kualiti padang di kelabnya iaitu JDT dalam rancangan Bola Mamak semalam.
Sebelum itu, bekas pemain pasukan Selangor, Asmawi Bakiri turut menjelaskan bahawa kualiti padang secara umumnya dapat mempengaruhi semangat para pemain yang turun untuk beraksi.
Tambahnya lagi, dengan kualiti padang berkelas dunia yang dimiliki oleh pasukan Harimau Selatan itu, ia pastinya menjadi satu perkara yang amat memberi kelebihan kepada para pemain.
‘Apabila saya sendiri melihat kualiti padang di JDT, saya juga berasa bersemangat untuk beraksi.’
Menurut penjelasan TMJ, kualiti padang yang ada di negara kita hakikatnya sudah jauh ketinggalan berbanding negara-negara serantau yang sudah mula menggunakan kualiti padang yang lebih baik berbanding yang dimiliki oleh Malaysia.
Baginda turut menambah, ianya bukan soal kewangan yang menyebabkan kita masih berada di takuk lama, namun tiada perbincangan secara lebih lanjut serta tender-tender yang ‘menekan’ belanja yang amat tinggi berbanding apa yang berjaya dilakukannya.
Sambil itu, baginda menjelaskan kos keseluruhan yang diambil olehnya untuk memasang rumput tersebut di Stadium Sultan Ibrahim hanyalah 1.4 Juta berbanding nilai 10 Juta seperti yang dikongsikan oleh Menteri Belia dan Sukan untuk menaik taraf Stadium Bukit Jalil.
Baginda turut memuji tindakan pasukan Terengganu Fc yang segera menaik taraf kualiti padang mereka sambil menyatakan bahawa tindakan ‘tepat’ itu bukan hanya memfokuskan kepada fasiliti semata-mata.
‘Tidak guna hanya ada fasiliti yang baik tetapi padang masih sama.’
‘Padang sepatutnya menjadi keutamaan yang perlu segera ditukar.’
Bukan itu sahaja, malah baginda turut berharap pasukan-pasukan yang berada di Liga Malaysia ini turut mengambil inisiatif untuk menukar padang mereka sekaligus membolehkan kualiti dan mutu permainan bola sepak di negara kita dapat dinaikkan.
Ini juga mengambil kira faktor apabila pemain yang dipilih daripada skuad kebangsaan yang bakal beraksi di luar negara yang rata-rata sudah menggunakan padang seperti di JDT.
Menurut TMJ, beliau akan terus memastikan kualiti padang di JDT sentiasa berada dalam keadaan baik dan sempurna.
“Setiap hari kalau saya datang (jika saya naik ke pejabat JDT), saya akan pergi tengok padang setiap kali sebelum balik.”
“Jika semua berjalan dengan lancar tapi padang tidak dijaga dengan baik, saya tidak akan gembira.”
Padang juga akan sentiasa menjadi aspek yang perlu dititik beratkan memandangkan ia sentiasa digunakan untuk perlawanan kompetitif termasuklah saingan JDT di Liga Juara-Juara Asia (ACL).
“Padang adalah keutamaan pertama saya.”
Di samping itu, kualiti padang yang ada di sesebuah kelab menjadi cerminan utama bagaimana sesebuah kelab itu diuruskan.
“Kerana padang itu melambangkan bagaimana kelab diuruskan.”
“Kalau padang tak bagus, ia bermakna pengurusan kelab tidak bagus.”
Ia juga menjadikan baginda amat menjaga rapi termasuklah terhadap keadaan dan juga persiaan padang menjelang setiap perlawanan.
“Sebab itu saya sangat serius isu berkenaan padang.”