Kejayaan Johor Darul Ta’zim (JDT) menjulang kejuaraan Liga Super buat kali kesepuluh berturut-turut sudah pasti didorong dengan agak kuat oleh pemilik JDT, Tunku Ismail Idris Ibni Sultan Ibrahim atau lebih dikenali dengan gelaran TMJ.
Untuk mencapai ke tahap itu, bukanlah suatu tugas yang mudah. Bagi baginda, antara faktor yang mempengaruhi kesungguhan baginda untuk terus berjaya adalah pesaing. Termasuk juga penyokong dan pembenci.
Perkara tersebut telah dikongsikan oleh baginda dalam sebuah podcast terkenal, Keluar Sekejap yang dihoskan Khairy Jamaludin dan Shahril Hamdan.
“Secara jujur, satu-satunya perkara yang buatkan saya terus bekerja keras adalah saya punya pesaing ataupun penyokong-penyokong yang kurang arif. Itu yang membakar semangat saya.
“Apabila saya menganggap anda musuh, saya akan pastikan anda kecewa. Kalau kita ni musuh, saya akan tewaskan anda setiap tahun,” jelas TMJ.
Baginda dalam masa yang sama turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada pembenci baginda kerana tanpa mereka, baginda mungkin tiada lagi dalam dunia bola sepak.
“Tanpa mereka penyokong-penyokong atau pembenci, saya rasa saya dah lama tidak ada dalam bola sepak disebabkan tiadanya persaingan.
“Dengan mereka memperlekehkan projek JDT, saya berterima kasih kepada mereka sebab kerana merekalah saya masih rasa persaingan itu dan mahu melakukannya lebih banyak lagi,” luah baginda lagi.
JDT dilihat sukar untuk disaingi musim ini. Selain sah menjuarai Liga Super, JDT juga sudah menjulang dua lagi piala musim ini iaitu Piala FA dan Piala Sumbangsih. Kini, mereka ke perlawanan akhir Piala Malaysia selepas menewaskan Perak FC di separuh akhir dengan agregat 12-2.