Jaguh beregu campuran negara, Toh Ee Wei membuka cerita mengenai insiden kemalangan yang dialami olehnya ketika berlatih di Akademi Badminton Malaysia (ABM).
Khamis lalu, Persatuan Badminton Malaysia (BAM) telah melaporkan pasangan beregu campuran utama negara ini terpaksa menarik diri dari dua kejohanan di Eropah akibat kecederaan di tangan kiri Ee Wei.
“Pemain beregu campuran negara Toh Ee Wei mengalami kecederaan di tangan kirinya dan tidak akan dapat beraksi dalam beberapa kejohanan mendatang, termasuk Terbuka Artik dan Terbuka Denmark.”
“Kecederaan berlaku apabila Ee Wei terjatuh pada Selasa lalu ketika bersenam di gimnasium BAM, mengakibatkan luka di tangan kirinya yang memerlukan jahitan,” lapor BAM.
Menurut Ee Wei, beliau bernasib baik kerana kaca yang mengakibatkan kecederaannya itu tidak mengenai anggota tubuh yang penting seperti kepala dan tangan kanan yang digunakan untuk bermain.
“Saya masih boleh menganggap diri saya bernasib baik kerana kaca itu tidak mengenai kepala saya atau tangan untuk bermain,” ujar Ee Wei seperti dilaporkan Stadium Astro.
“Jika tidak, ia boleh jadi cerita lain. Walau bagaimanapun, saya masih mengalami koyak otot belakang tahap dua,” kata Ee Wei.
Tambah beliau lagi, setelah ditimpa kemalangan tersebut, seorang petugas fisioterapi terus bergegas membawanya ke hospital bagi menerima rawatan lanjut dan segera.
“Saya kemudiannya dikejarkan ke hospital oleh salah seorang ahli fisioterapi di ABM selepas diberitahu kami perlu menunggu lebih lama untuk ambulans.”
Kecederaan ini menyebabkan Toh Ee Wei terpaksa berehat seketika dari menyertai sebarang kejohanan dan BAM akan mengumumkan tarikh jangkaan buat pasangan negara ini kembali.