Tomislav Steinbruckner Beri Bayangan Tamatkan Kontrak Liridon Krasniqi

Liridon Krasniqi Terengganu FC Tomislav Steinbruckner Beri Bayangan Tamatkan Kontrak Liridon Krasniqi
Terengganu FC
Azim Noor @mohdazim45
8:30pm 30/06/2023

Susulan prestasi kurang memberangsangkan beberapa pemain termasuk pemain import, Terengganu FC bersedia menamatkan kontrak pemain-pemain ini. Antara nama yang berpotensi berdepan tindakan ini ialah pemain tengah naturalisasi, Liridon Krasniqi.

Sejak tiba di Terengganu FC musim ini menerusi perpindahan pinjaman dari Johor Darul Ta’zim (JDT) FC, Liridon dilihat gagal mempamerkan aksi konsisten di atas padang.

Ini diburukkan lagi dengan kegagalan Liridon menyempurnakan sepakan penalti semasa skuad Penyu tewas kepada KL City FC dalam aksi separuh akhir Piala FA baru-baru ini.

Selain isu prestasi, beliau juga perlu bersaing dengan ramai pemain tengah termasuk kapten Habib Haroon dan Domagoj Pusic.

Dengan ketiga-tiganya bukan pemain tengah menyerang, maka jurulatih Tomislav Steinbruckner berdepan isu lambakan pemain di bahagian tengah.

Steinbruckner membuat keputusan untuk membuat rombakan pasukan menjelang tetingkap perpindahan kedua yang bermula pada 5 Julai ini. Ini bagi mendapatkan keseimbangan pasukan walaupun bermakna perlu menggugurkan sesetengah pemain berkaliber seperti Liridon.

“Kita akan mengekalkan majoriti pemain import di sini tetapi beberapa pemain mungkin akan ditukar. Kita akan buat aturan penamatan kontrak (berdasarkan) kewangan dan analisis.

“Kita mempunyai terlampau ramai pemain di satu posisi seperti posisi tengah. Habib (Haroon), (Domagoj) Pusic, Liridon (Krasniqi) dan Zuasyraf (Zulkiefle).

“Saya tahu kebanyakan mereka ialah pemain tengah atau pemain tengah bertahan. Tetapi kesemua mereka bukan pemain tengah menyerang,” katanya bila ditemubual Nadi Arena.

Musim ini, Liridon merekodkan 14 penampilan bersama Terengganu FC dalam semua kejohanan. Beliau turut merekodkan satu gol dan satu bantuan gol dalam 12 perlawanan Liga Super.