Ketua jurulatih Terengganu, Tomislav Steinbruckner yakin dengan masa depan para pemain muda Terengganu berdasarkan prestasi semasa yang ditonjolkan mereka ketika ini.
“Saya boleh katakan dalam pasukan Terengganu FC ini, makin ramai pemain muda yang bakal menonjol selepas ini. Sebagai contoh, anda boleh lihat kualiti yang ada pada Safwan Mazlan, Ubaidullah Shamsul dan beberapa pemain lagi. Jika dilatih dengan baik, mereka ada masa depan yang sangat cerah.” ujar Steinbruckner di Instagram rasmi Terengganu FC.
Sebelum ini 4 pemain muda Terengganu iaitu Rahadiazli Rahalim (22 tahun), Azam Azmi (22 tahun), Safwan Mazlan (21 tahun) dan Ubaidullah Shamsul (20 tahun) telah terpilih untuk membarisi skuad kebangsaan Malaysia bawah 23 tahun bagi aksi kelayakan Piala Asia B-23.
Penjaga gol tinggi lampai, Rahadiazli juga menampilkan aksi yang meyakinkan sewaktu diturunkan apabila mencatat 3 cleansheet dalam 5 perlawanan bersama Terengganu setakat ini.
Nama Azam Azmi sudah kerap membarisi kesebelasan utama Terengganu bagi musim ini dan aksi Azam selaku pertahanan kanan juga tidak mengecewakan malah beliau mampu mencipta 2 bantuan jaringan buat pasukan.
Safwan Mazlan dan Ubaidullah Shamsul pula kerap diturunkan selaku pemain gantian namun kehadiran mereka tetap mampu memberikan impak positif buat skuad Sang Penyu.
Tomislac Steinbruckner kini dilihat gemar memberikan pemain muda Terengganu peluang untuk menonjolkan aksi terbaik mereka diatas padang malah prestasi semasa Terengganu juga cemerlang apabila belum kalah dalam 5 perlawanan terakhir liga.