Menjelang aksi ‘derby’ Pantai Timur membabitkan Terengganu dan Kelantan esok, dari satu segi ramai penyokong Peteh melihat ini sebagai peluang meraih tiga mata penuh. Tetapi tanpa beberapa tonggak utama, anak-anak buah Tomislav Steinbruckner berdepan tugas sukar meraih kemenangan.
Dua tonggak utama Peteh iaitu Jordan Mintah dan Sony Norde dilaporkan masih mengalami kecederaan. Manakala bek tengah Uzbekistan, Sardor Kulmatov pula perlu menjalani penggantungan selepas mengutip kad kuning ketiga semasa menentang Kelantan United beberapa hari lepas.
Di sebalik kehilangan tiga tonggak ini, Steinbruckner berharap pemain-pemain lain dapat bangkit dan mengisi kekosongan yang ditinggalkan. Ini kerana ini juga peluang buat mereka merebut kesebelasan utama dan membuktikan kemampuan mereka.
“Posisi pertahanan, kita mempunyai seorang lagi tonggak import tinggi lampai, Argzim Redzovic dan pemain skuad Bawah 22 Tahun (B-22) Malaysia, Muhammad Safwan Mazlan bagi menggantikan tempat yang ditinggalkan pertahanan kelahiran Uzbekistan itu. Walaupun sedar Kulmatov adalah pemain penting di posisi itu tapi saya percaya kepada semua pemain.
“Begitu juga pengganti Norde, kita mempunyai beberapa pemain tempatan berkualiti yang boleh mengisi posisi berkenaan termasuk Faiz Nasir, Hakimi Abdullah dan Nik Muhammad Sharif Haseefy Mohd Lazim.
“Bagaimanapun kita belum memutuskan lagi sama ada Mintah disenaraikan ataupun sebaliknya kerana kami masih memantau tahap kecergasannya selepas mengalami hamstring. Jika dia tidak dapat beraksi, kita ada Ivan Mamut selain Engku Nur Shakir Engku Yacob.
“Walau siapapun diturunkan nanti, misi kita tetap tiga mata untuk meneruskan momentum kemenangan ketiga lebih-lebih lagi beraksi di depan ribuan peminat setia TFC,” katanya bila dihubungi Berita Harian.
Steinbruckner pasti berharap rentak kemenangan yang diraih menentang Kelantan United dapat diteruskan dengan Kelantan esok. Ini bagi memastikan pasukan dapat mendaki kedudukan yang lebih baik dalam Liga Super.