Tomislav Steinbruckner Siapkan Pelan Rapi Berdepan Trio Serangan KL City

Tomislav Steinbruckner Terengganu FC 2 Tomislav Steinbruckner Siapkan Pelan Rapi Berdepan Trio Serangan KL City
Terengganu FC
Azim Noor @mohdazim45
4:34pm 04/03/2023

Dengan Terengganu kini menduduki tangga ke-13 Liga Super, tekanan mula dirasai pengendali skuad Peteh, Tomislav Steinbruckner. Dengan perlawanan menentang KL City merupakan misi wajib menang, beliau perlu menggarap pelan bagi merantai trio penyerang berbisa City Boys sekiranya mahu menang.

Terengganu tewas dalam dua perlawanan awal Liga Super. Mereka tewas 2-0 kepada Johor Darul Ta’zim (JDT) dalam Perlawanan Sumbangsih dan tewas tipis 1-0 kepada Kedah.

Dengan perlawanan menentang KL City diadakan di Stadium Sultan Mizan Zainal Abidin, anak-anak buah Steinbruckner perlu menggunakan kesempatan beraksi di gelanggang sendiri untuk meraih tiga mata.

“Selepas tewas kepada JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Kedah (Kedah Darul Aman FC), kami tidak mempunyai pilihan lain kecuali untuk menang dengan KL City FC bagi kedudukan lebih baik di Liga Super.

“Jadi, ia satu perlawanan besar dan penting selepas dua perlawanan di tempat lawan. Saya percaya dan berharap para pemain dapat lakukan yang lebih baik daripada dua perlawanan sebelum ini,” katanya kepada media pada sesi latihan skuad Penyu di Kompleks Sukan Gong Badak.

Steinbruckner sedar City Boys dibarisi pemain-pemain import berkaliber seperti Herlison Caion, Patrick Reichelt, Romel Morales dan Tchetche Kipre. Justeru, Terengganu perlu bekerja keras merantai mereka sekiranya mahu menang di hadapan penyokong sendiri.

“Ini juga satu perlawanan yang kami jangka sukar. Kipre Tchetche, Declan Lambert, Herlison Caion, mereka semuanya pemain yang bagus yang kami perlu perhatikan,” tambahnya.