Tonggak kacukan Australia, Kaveen Waran telah menambat hati untuk dipanggil bersama skuad muda Malaysia.
Pemain berusia 16 tahun itu berjaya mengetuk pintu hati pengendali skuad Malaysia B-19, Juan Torres Garrido apabila berada dalam senarai bersedia.
Hal ini susulan skuad muda negara dipanggil ke kem latihan pusat skuad Harimau Malaya B-19 bermula Jumaat, 30 Ogos 2024 sebagai persiapan menjelang Kelayakan Piala Asia B-20 2025 di Dushanbe, Tajikistan dari 21 hingga 29 September 2024.
Seramai 23 orang pemain mendapat tempat dengan 10 orang tonggak JDT lll dan IV mengetuai cabaran negara pada panggilan kali ini.
Seramai 16 orang pemain berada dalam senarai bersedia dengan Kaveen Waran menjadi salah satu pilihannya.
Kaveen ketika ini beraksi buat Perth Soccer Club dan layak untuk mewakili sama ada Australia dan juga Malaysia.
Harimau Malaya B-19 akan terbang ke Changsha, China pada Sabtu, 31 Ogos 2024 bagi menyertai kejohanan jemputan empat penjuru di sana iaitu menentang Uzbekistan B-21 pada Rabu, 4 September 2024, China B-21 pada Sabtu, 7 September 2024 dan Vietnam B-21 pada Selasa, 10 September 2024.
Harimau Malaya B-19 akan dikendalikan oleh dua penolong ketua jurulatih B-19 kebangsaan iaitu Noor Zaidi Rohmat dan Shukor Adan memandangkan Juan Torres yang turut memegang jawatan sebagai penolong ketua jurulatih kebangsaan akan bersama skuad Harimau Malaya kendalian Pau Marti untuk Pestabola Merdeka 2024 dari 4 hingga 8 September ini.
Sekembalinya dari China, skuad Harimau Malaya B-19 akan menyambung kem latihan pusat di tanah air bersama Juan Torres dari 12 hingga 16 September, sebelum mereka terbang ke Dushanbe pada 17 September 2024 bagi menghadapi Kelayakan Piala Asia B-20 2025.
Saingan Kumpulan E kelayakan tersebut menyaksikan Malaysia akan menentang Oman pada 21 September, DPR Korea pada 23 September, Tajikistan pada 27 September dan Sri Lanka pada 29 September 2024, dengan semua aksi dijadualkan berlangsung di Stadium Republican Central, Dushanbe.