Pemain sayap Harimau Malaya, Arif Aiman bakal berdepan lawan bernilai RM9.3 Juta yang beraksi di Serie A.
Skuad kendalian Pau Marti telah mengharungi aksi persahabatan Tier 2 berdepan Auckland FC dan meraih keputusan seri 1-1.
Ujian sebenar menanti Harimau Malaya apabila bakal berdepan pasukan ke-95 dunia iaitu New Zealand bagi satu aksi persahabatan Tier 1 di Auckland.
Beberapa tonggak penting dijangka terus kekal berada dalam perancangan utama Pau Marti termasuklah Arif Aiman yang kini dalam kemuncak prestasi pada peringkat kelab.
Pemain berusia 22 tahun itu bagaimanapun bakal berdepan ujian hebat pertahanan New Zealand, Liberato Cacace.
Tonggak berusia 24 tahun itu merupakan pertahanan kiri All Whites dan telah beraksi hampir 16 kali bersama pasukan.
Beliau yang beraksi di Serie A bersama Empoli bakal menjadi ujian hebat buat tonggak JDT itu bagi merencanakan serangan skuad kebangsaan.
Cacace merupakan watak utama New Zealand ketika membantu pasukan mengikat USA dengan keputusan 1-1 tempoh hari.
Prestasi Arif kini pada tahap terbaik selepas berjaya menjaringkan tiga gol dalam dua aksi awal saingan AFC Champions League Elite (ACLE) musim ini.
Aksi antara New Zealand dan Malaysia bakal berlangsung pada 14 Oktober jam 2 petang waktu tempatan.