Como 1907 mencipta sensasi dengan menyatakan pemain tengah warisan Indonesia, Thom Haye sebagai pemain kelas ketiga.
Kenyataan panas itu dibuat oleh wakil pemilik kelab, Mirwan Suwarso apabila ditemubual CNN Indonesia semalam.
Sebelum ini, timbul khabar angin perpindahan yang mengaitkan Haye dengan kelab Serie B itu. Ini selepas pemain tengah berusia 29 tahun itu memilih tidak menyambung kontrak dengan Heerenveen.
Keputusan ini menyaksikan Haye bakal bergelar ejen bebas apabila kontraknya berakhir pada 30 Jun ini. Ini membolehkan beliau bebas berunding dengan mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan khidmatnya.
Como antara yang dicanang berminat mendapatkan khidmatnya. Ini disebabkan kelab yang diberi jolokan Gli Azzurri itu dimiliki oleh Djarum Group yang berpangkalan di Indonesia.
Walau bagaimanapun, Mirwan memaklumkan kelab itu tidak berminat mendapatkan khidmat Haye atas alasan keupayaan Haye belum teruji di Serie A.
“Tidak mungkin (mendapatkan Thom Haye). Kami sudah melihat dia dan tidak memenuhi piawaian untuk mengangkat (pasukan). Jadi pemain simpanan mungkin boleh, tapi pemain simpanan ketiga.
“Kami pernah melihat Thom Haye kerana (beliau) sesuai di Serie B. Tapi untuk ke Serie A, belum tentu jadi kami belum berani.
“Venezia juga akan melakukan hal serupa jika layak ke Serie A tentu mencari pemain baru juga. Kalau tidak, mereka bisa turun lagi ke Serie B,” katanya.
Mirwan turut memaklumkan Haye bukan saja kurang sesuai dengan perancangan taktikal pasukan yang dipilih pemangku jurulatih, Osian Roberts.
Malah, bekas pemain tengah AZ Alkmaar itu perlu bersaing dengan beberapa pemain lain di bahagian tengah jika berpindah ke pasukan itu.
“Tapi kami masih kekurangan pemain nombor 8 dan 10 yang harus dinamik dan agresif. Sedangkan Thom sendiri bukan jenis (pemain) seperti itu kerana kami perlu corak permainan (bersifat) tekanan.
“Thom merupakan pemain tengah dengan (membuat) hantaran tepat dari belakang, bukan jenis pemain yang melakukan tekanan. Jadi secara sistem, (beliau) tidak sesuai dengan permainan kami,” tambahnya.
Selain Haye, seorang lagi pemain warisan Indonesia, Nathan Tjoe-A-On turut meninggalkan Heerenveen pada akhir musim.
Tjoe-A-On akan kembali ke kelab Liga Kejohanan, Swansea City untuk musim 2024/25 selepas menyertai kelab Belanda itu secara pinjaman semusim.