Trio serangan Johor Darul Ta’zim (JDT) bakal berubah wajah menjelang musim baharu.
Skuad Harimau Selatan menamatkan musim dengan cemerlang selepas mengekalkan 4 trofi domestik yang dimenangi bagi musim ketiga berturut-turut.
Usaha memantapkan pasukan itu diteruskan selepas berakhirnya perjuangan wakil tunggal Malaysia itu bagi saingan AFC Champions League Elite (ACLE) pada pusingan kalah mati.
Penganalisis bebas bola sepak Malaysia iaitu Juan Budiman memberi bayangan bahawa JDT bakal merevolusikan skuadnya menjelang musim baharu.
Hal ini termasuklah pertukaran ketua jurulatih, Hector Bidoglio yang dikhabarkan tidak akan kekal membimbing pasukan bagi musim baharu.
Bukan itu sahaja, trio serangan JDT juga dijangka bakal dibarisi muka baharu selepas peledak berbisa, Jorge Obregon bersama-sama Jese Rodriguez dikatakan bakal melangkah pergi.
Pemergian barisan bintang JDT ini menyaksikan posisi serangan jaguh Asia Tenggara ini bakal diisi oleh muka baharu bagi musim hadapan.
Beberapa pemain baharu seperti Anselmo Moraes, Alvaro Gonzalez dan bintang termahal JDT, Jalil Elias juga dikatakan bakal ditunjukkan jalan keluar.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) JDT, Alistair Edwards juga memberi gambaran bahawa JDT akan sentiasa berubah demi kebaikan pasukan.
“Di JDT, perubahan itu akan sentiasa berlaku. Ini bagi memastikan pasukan bertambah baik setiap musim.
“Perubahan peraturan dari AFC berkenaan kuota pemain import memerlukan kami menyesuaikan diri untuk bersaing secara kompetitif di Asia,” ujarnya.