Tuan Rumah FIFA B20: Argentina Ganti Indonesia
MakanBola
@gianni_infantino
Sponsors

Susulan tindakan Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) menarik balik hak penganjuran Piala Dunia B-20 daripada Indonesia, sudah ada ura-ura yang mengatakan Argentina telah dipilih sebagai pengganti. Hari ini, FIFA secara rasmi mengumumkan negara itu sebagai tuan rumah baru untuk edisi 2023.

Keputusan ini diputuskan Biro Majlis FIFA selepas meneliti bidaan hak tuan rumah oleh Persatuan Bola Sepak Argentina (AFA). Selain itu, FIFA turut menghantar satu pasukan membuat tinjauan ke atas venue pertandingan dan infrastruktur berkaitan yang dicadangkan dalam bidaan AFA.

Ad

Dengan keputusan ini, ini bukan saja bermakna Argentina layak ke Piala Dunia B-20 sebagai tuan rumah. Malah, ia juga memastikan tarikh kejohanan iaitu dari 20 Mei hingga 11 Jun dikekalkan.

Dari segi rekod kejohanan, Argentina dianggap pasukan yang paling berjaya dengan rekod kejuaraan sebanyak enam kali. Malah, mereka turut meraih gelaran juara Piala Dunia B-20 semasa kali terakhir bergelar tuan rumah pada 2007.

Ad

“FIFA amat gembira untuk mengumumkan Piala Dunia B-20 edisi tahun ini bakal berlangsung di Argentina dengan juara dunia membuka pintu kepada bintang-bintang muda bola sepak dunia.

Ad

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada AFA terutama kepada Presiden Claudio Tapia dan pihak kerajaan kerana menyatakan komitmen untuk menganjurkan kejohanan hebat ini dalam masa singkat.

Ad

“Piala Dunia B-20 memainkan peranan penting dalam usaha FIFA untuk mempromosikan bola sepak remaja di seluruh dunia. Sejak 1977, kejohanan ini telah menampilkan ramai pemain handalan sejak puluhan tahun termasuk Diego Armando Maradona, Lionel Messi, Paul Pogba dan Erling Haaland.

“Dengan menganjurkan kejohanan edisi tahun ini di negara yang menggilai bola sepak bakal menjadi inspirasi besar kepada bintang-bintang masa depan,” kata Presiden FIFA, Gianni Infantino dalam satu kenyataan hari ini.

Undian penentuan kumpulan membabitkan negara-negara yang bertanding dalam Piala Dunia B-20 tahun ini bakal diadakan di Zurich, Switzerland.