Tunku Ismail & Anwar Ibrahim Bincang Langkah Kukuhkan Bola Sepak Malaysia
MakanBola
DYAM Tunku Ismail

DYAM Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim di istana Johor hari ini.

Pertemuan Tunku Ismail dan Anwar dikongsikan menerusi satu hantaran di platform media sosial rasminya.

Dalam pertemuan tersebut, kedua-duanya bukan saja membincangkan pelbagai isu semasa termasuk pembangunan ekonomi negeri Johor.

Malah, Tunku Ismail turut menyentuh aspek-aspek berkenaan bola sepak di Malaysia termasuk inisiatif-inisiatif untuk membawa sukan itu lebih ke hadapan.

Pertemuan ini turut disertai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Johor Darul Ta’zim FC (JDT FC), Alistair Edwards dan legenda bola sepak Australia, Tim Cahill.

“Duli Yang Amat Mulia Tunku Mahkota Ismail, Pemangku Sultan Johor terima mengadap YAB Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia pada hari ini, 23 Ogos 2024.

“Dalam pertemuan ini, pelbagai isu-isu terkini telah disampaikan dan dibincangkan. Antaranya adalah berkaitan dengan ekonomi Johor serta langkah-langkah strategik untuk memastikan pembangunan negeri terus pesat dan mampan.

“Selain itu, perkara-perkara berkaitan bola sepak Malaysia, termasuk inisiatif-inisiatif untuk memperkukuhkan sukan tersebut turut dibincangkan,” katanya dalam satu kenyataan.

Terdahulu, Tunku Ismail mengadakan lawatan ke AFC House di Bukit Jalil, Kuala Lumpur. Baginda mengadakan pertemuan dengan Setiausaha Agung Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC), Datuk Seri Windsor John.

Pertemuan tersebut turut disertai Cahill atas kapasitinya sebagai Pengarah Teknikal Persatuan Bola Sepak Qatar (QFA) dan Ketua Pegawai Sukan (CSO) Aspire Academy.